Razman mesti minta maaf kepada rakyat Malaysia

Sany Hamzan

Badan pemantau pilihan raya perlu diwujudkan bagi memantau kempen politik berbaur fitnah dan kebencian, tegas Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan.

“Saya cadang kita kena wujudkan satu badan pemantau pilihan raya yang berperanan mengawal kempen berbaur perkauman dan fitnah.

“Ia perlu dilaksanakan supaya rakyat Malaysia berbilang kaum tidak terpengaruh dengan budaya politik kebencian,” ujarnya ketika dihubungi Harapan Daily.

Wakil rakyat dari AMANAH itu berkata demikian mengulas pemohonan maaf Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria terhadap Perdana Menteri sebagai membawa agenda perkahwinan sejenis dan menyokong fahaman komunis semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu juga menuntut ADUN Gunong Semanggol berkenaan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kesan kepada pengundi.

“Kita percaya fitnah yang dilemparkan (semasa kempen PRU15) sememangnya berjaya memberi kesan kepada pengundi untuk menyokong PH.

“Saya kira, permohonan maaf (Razman) bukan sahaja untuk Anwar Ibrahim tetapi untuk semua rakyat Malaysia kerana menggunakan fitnah dan politik kebencian ini,” tegasnya.

Taufiq Johari

Senada dengannya, Ahli Parlimen Sungai Petani, Taufiq Johari juga menyuarakan pandangan yang sama perihal kempen fitnah yang dibawa parti tertentu.

“Elemen fitnah yang dibawa Pas jelas bercanggah dengan apa diajarkan dalam Islam. Saya harap pemimpin Pas perlu lebih berjaga-jaga dalam keluarkan kenyataan,” ujarnya.

Terdahulu, Anwar yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi menuntut ganti rugi RM5 juta dan injunksi menghalang Razman daripada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya.

BACA JUGA Fitnah Razman terhadap PM Anwar bukti Pas hilang nilai Islam