Razman Zakaria penakut

EKSKLUSIF Pesuruhjaya Pas Perak merangkap Adun Gunung Semanggol Razman Zakaria sebenarnya seorang pengecut, dakwa Adun Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Halimey yang juga Ketua Penerangan PKR Selangor menyatakan Razman tidak pernah konsisten dengan kenyataannya pada November lalu kerana beliau bertegas bahawa beliau tidak akan meminta maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah mendakwa bahawa Anwar membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini selain menyokong agenda komunis.

Hari ini, Razman telah membuat satu permohonan maaf di Mahkamah Tinggi Taiping sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Anwar terhadapnya.

“Dia (Razman) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak akan mohon maaf pada Anwar Ibrahim tetapi apabila dibawa (kes) ke mahkamah dia (Razman) mohon maaf kepada Anwar Ibrahim.

“Razman seorang yang penakut dan kecut perut. Maknanya dia cakap sahaja lebih tetapi (hakikatnya) penakut.

“Kalau betul seperti apa yang dia (Razman) cakap itu, lawanlah. Berdebat di mahkamah. Kenapa perlu tarik diri dan mohon maaf,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Kelana Jaya, Selangor, hari ini.

Razman Zakaria, Pesuruhjaya Pas Perak merangkap Adun Gunung Semanggol yang memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Beliau turut berpendapat bahawa Razman adalah seorang yang bertuah kerana individu yang disaman itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cukup dikenali dengan sifat pemaafnya.

“Anda (Razman) bertuah kerana menuduh orang yang suka memaafkan orang lain.

“Kita tahu Anwar seorang yang cukup pemaaf walaupun hatinya terguris seperti apa yang didakwa oleh Razman,” ujarnya.

Pada 5 Disember lalu, Anwar yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi melalui firma guaman Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Taiping dengan menuntut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunong Semanggol itu membayar ganti rugi am, teruk dan teladan serta perintah mahkamah menghalangnya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata, Razman memberi ucapan kempen pilihan raya pada program ‘walkabout’ pasar malam Tebuk Pancur yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebooknya ‘Haji Razman Zakaria’ yang mendapat tontonan melebihi 94,400 kali, melebihi 5,100 reaksi, 429 perkongsian dan melebihi 2,600 komen.

Anwar berkata, Razman kemudian menerbitkan atau menyebabkan siaran video secara langsung Facebook dan kandungannya diterbitkan semula di artikel Malaysiakini bertajuk ‘Razman dakwa Anwar bawa agenda LGBT, bimbang kerjasama PH-BN’ bertarikh 6 November lalu.

Katanya, penerbitan itu adalah satu fitnah terhadap dirinya kerana memberi gambaran bahawa dirinya cenderung ke arah kelakuan songsang, menggalakkan perkahwinan sejenis dan mengamalkan serta menyokong ideologi komunis.

BACA JUGA: Ketua Pas Perak, Razman Zakaria mohon maaf kepada Anwar Ibrahim