Restoran India Muslim bantu kerajaan sediakan Menu Rahmah

Sebagai menyahut seruan kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) melancarkan Menu Rahmah hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata Menu Rahmah ini telah banyak memberikan motivasi kepada banyak restoran, gerai mahupun warung untuk turut serta menyertainya.

“PRESMA bersedia untuk menawarkan Menu Rahmah ini di mana terdapat hari mereka sediakan menu ikan atau ayam.

“Ini juga merupakan contoh Menu Rahmah seimbang yang ditawarkan oleh beberapa kedai makan,” katanya.

Antara menu yang disediakan di restoran ini ialah nasi putih, sayur kobis termasuk dengan berlaukkan ayam goreng, ikan goreng, ayam kari, kari ikan, ayam kicap, ikan kicap atau ayam kurma.

Salahuddin berkata demikian selepas merasmikan program pelancaran Menu Rahmah di di Restoran Nasi Kandar Stadium, Cheras Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut beliau, Menu Rahmah ini merupakan makanan tengah hari atau malam yang seimbang dan merangkumi nasi, satu pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan iaitu pada harga RM5 sepinggan.

Dengan tawaran harga menu yang sangat berpatutan itu katanya, sedikit sebanyak dapat membantu golongan sasar yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.

Dalam pada itu, beliau juga sedang merencanakan sebuah program jualan murah yang tidak hanya terhad kepada kategori makanan sahaja sebelum menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Saya juga sedang mengatur satu sesi libat urus dengan pemilik-pemilik atau industri pakaian dan makanan.

“KPDN mengharapkan menjelang puasa dan sambutan Aidilfitri ada lagi berita gembira untuk rakyat Malaysia nikmati dengan membeli barangan keperluan dengan harga ‘Rahmah’,” katanya lagi.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pengusaha restoran yang bersemangat menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan Menu Rahmah kepada rakyat.

Dalam pada itu, KPDN turut mengalu-alukan pengusaha restoran untuk mendaftar Menu Rahmah di pejabat KPDN negeri untuk membantu mempromosikan restoran tersebut.

BACA JUGA Belanja mewah: Pemimpin Bersatu diingat jangan bermuka-muka – Fahmi