RM185 juta dibelanjakan dalam pembinaan 78 masjid, 75 surau demi syiar Islam

Sebanyak 78 buah masjid dan 75 buah surau yang telah dan sedang dibina di Selangor membabitkan peruntukan RM185 juta sepanjang 2019 hingga 2022.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan bahawa 19 daripada surau berkenaan antara premis yang memiliki kebenaran untuk mengadakan solat Jumaat.

“Kerajaan negeri komited menyuburkan syiar Islam di bumi Darul Ehsan,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Selain itu, kerajaan negeri Selangor turut berbelanja RM1.4 bilion bagi mengukuhkan institusi masjid, surau dan sekolah agama sejak 2018.

Dana itu digunakan untuk kebajikan kakitangan masjid seperti imam, bilal dan siak dalam bentuk elaun serta sumbangan khas perayaan.

Turut diagih, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada 4,200 guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain serta keperluan institusi sekolah agama dan rumah ibadat.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Adun Sungai Tua turut menyerahkan bantuan Ihya’ Ramadan kepada semua masjid dan surau di yang terletak di kawasan parlimen itu.

Beliau berkata, sumbangan itu meliputi 22 buah masjid dan 75 buah surau termasuk surau solat Jumaat bagi membantu institusi agama menyediakan kelengkapan menyambut puasa.

“Semoga dapat dimanfaatkan bagi persiapan menyambut Ramadan Al Mubarak,” katanya lagi.

Pada 1 Mac 2023, Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor memaklumkan bahawa lebih RM2 juta diperuntukkan bagi menyemarakkan Ramadan tahun ini di Selangor.

Sepanjang 2019 hingga tahun lalu, MBI membelanjakan hampir RM8 juta kepada institusi agama merangkumi bantuan kepada pihak masjid sebanyak RM4.3 juta, surau (RM3.1 juta) dan sekolah rendah agama (RM1 juta).

BACA JUGA: Amirudin mahukan satu penggal lagi