RM9 bilion setahun daripada subsidi bersasar dapat dijimatkan

RM9 bilion setahun daripada subsidi bersasar dapat dijimatkan

Sekurang-kurangnya AS$1 bilion (RM4.73 bilion) hingga AS$2 bilion (RM9.47 bilion) mampu dijimatkan setahun menerusi pelaksanaan subsidi bersasar pada tahun depan.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, kerajaan berharap rancangannya untuk mengurangkan subsidi pada tahun depan dapat membantu mengurangkan defisit fiskal negara.

Jelasnya, ia juga bagi memberi ruang kepada kerajaan untuk mengelak daripada mengenakan terlalu banyak cukai.

“Untuk pembentangan belanjawan minggu depan, saya fikir pasaran akan teruja kerana akhirnya mereka akan dapat melihat langkah konkrit untuk beralih daripada sistem subsidi menyeluruh yang telah lama wujud di Malaysia kepada subsidi bersasar kerana ia adalah kunci kepada konsolidasi fiskal pentadbiran ini.

“Kejayaan pelaksanaan program pensasaran semula subsidi akan meletakkan kerajaan dalam kedudukan yang lebih kukuh dari segi fiskal dan ia akan membolehkan kerajaan sedikit ruang supaya tidak gopoh memperkenalkan cukai baharu”, katanya dalam temubual dengan Bloomberg TV, hari ini.

Dalam masa sama, kerajaan juga sedang mengusahakan sistem untuk mengedarkan bantuan tunai bagi mengimbangi kesan inflasi akibat daripada pengurangan peruntukan subsidi yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 80 peratus daripada lapan juta isi rumah di negara ini.

“Ya, kami juga seharusnya mampu untuk memenuhi sasaran defisit belanjawan 5.0 peratus yang ditetapkan untuk tahun 2023 dan rancangannya adalah untuk menurunkannya lagi kepada 4.6 peratus atau lebih rendah dan dengan rasionalisasi subsidi yang akan dilaksanakan sepenuhnya penuh pada 2024.

“Harapan kami mudah-mudahan akan dapat menyatukan lebih jauh lagi pada tahun 2025 untuk memenuhi sasaran 3.5 peratus,” katanya.

Belanjawan 2024 dijadual dibentangkan pada 13 Oktober ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan bayangan untuk memperkenalkan cukai baharu bagi mengukuhkan kewangan kerajaan, termasuk Cukai Keuntungan Modal (CGT).

BACA JUGA PM jamin industri pelancongan, seni dan budaya diberi tumpuan

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )