Rumah Selangorku: Syukur rakyat dapat miliki kediaman ketika usia muda

Penerima tawaran Rumah Selangorku menganggap usaha kerajaan negeri dalam menyediakan kediaman kepada golongan kurang berkemampuan merupakan inisiatif yang perlu dihargai.

Seorang penduduk, T Tanaseelen, 29, yang mendapat surat tawaran membeli unit rumah di Pangsapuri Amansiara, Selayang berasa sangat gembira kerana berpeluang untuk memiliki kediaman yang mampu milik.

”Memang sangat gembira kerana rumah ini merupakan kediaman pertama saya. Sekurang-kurangnya saya sudah ada satu rumah pada usia sekarang.

”Harga rumah yang ditawarkan kerajaan negeri juga berpatutan dan sebab itulah saya memilih untuk membeli rumah ini,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui di Tapak Bazar Ramadan, Taman Melawati, Hulu Kelang, hari ini.

Terdahulu Tanaseelen yang bekerja sebagai juruteknik teknologi di sebuah syarikat swasta, menerima surat tawaran Rumah Selangorku yang diserahkan sendiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Surat tawaran itu diserahkan kepada pemilik rumah sempena Program Jelajah Kita Selangor Penyayang yang diadakan di lokasi sama.

Tanaseelen berkata  selain rumah, pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan negeri termasuk skim kesihatan.

”Inisiatif kerajaan negeri memang baik. Bukan sahaja tentang rumah, soal kesihatan juga turut dijaga sebab saya memang menggunakan skim pelindungan kesihatan Peduli Sihat untuk ibu bapa saya,” ujarnya.

Lim Shaik Hoon menerima surat tawaran Rumah Selangorku daripada Menteri Besar.

Seorang lagi penduduk, Lim Shaik Hoon, 34, turut memuji langkah yang diambil kerajaan negeri demi melihat rakyatnya memiliki kediaman sendiri.

”Bantuan yang disediakan memang menarik! Ini kerana harga yang ditawarkan dan lokasi rumah itu begitu strategik!

”Saya merasakan harga seperti ini tidak akan dapat di tempat lain. Terima kasih kerajaan Selangor,” katanya yang turut mendapat surat tawaran membeli unit rumah Pangsapuri Amansiara.

Mohd Hadapis Mohd Nordin menerima surat tawaran Rumah Selangorku daripada Amirudin sempena Program Jelajah Selangor Penyayang di Taman Melawati pada 25 Februari 2023. Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH/HARAPAN DAILY

Seorang lagi penerima tawaran, Mohd Hadapis Mohd Nordin, 39, pula menzahirkan rasa syukur apabila dapat memiliki rumah sebelum usia 40 tahun.

Katanya, memiliki rumah pertama adalah impiannya sejak dahulu lagi dan syukur kini ianya tercapai.

”Alhamdulillah tidak lama lagi saya akan berpindah ke rumah baharu iaitu di Pangsapuri Amansiara. Macam mimpi juga dapat memiliki rumah.

”Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor yang prihatin kepada masyarakat seperti kami,” katanya yang bekerja sebagai seorang pemandu lori.

BACA JUGA: Lebih 33,000 kunci Rumah Selangorku berjaya diserah kepada pembeli – MB