Runtuhan di Tasik Kenyir: Kerajaan akan beri perhatian segera

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjamin kerajaan persekutuan akan memberi perhatian segera terhadap masalah runtuhan tanah di sekitar Tasik Kenyir demi keselamatan rakyat Terengganu.

Anwar berkata meskipun Terengganu merupakan negeri pembangkang, namun Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri harus bersama-sama dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Yang baru disebut kepada saya iaitu tentang masalah di Tasik Kenyir kerana berlaku runtuhan dan saya bincang dengan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) kalau itu satu hal yang benar-benar mendesak, kalau untuk menjamin keselamatan kawasan Tasik Kenyir dan Terengganu kerana limpahan air dan kerosakan yang mungkin berlaku, tentunya saya bagi perhatian segera.

“Walaupun Menteri Besar (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) daripada parti lain, itu tidak menjadi masalah.

“Kalau masalah itu masalah rakyat kita mesti hadapi bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani: Perdana Menteri Bersama Rakyat Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, di Kuala Nerus, semalam.

Majlis berbuka puasa bersama pemimpin nombor satu negara itu turut dihadiri Ahmad Samsuri dan Mohd Zuki beserta kira-kira 1,500 pelajar dan rakyat dari sekitar Kuala Nerus.

Muafakat persekutuan, negeri

Dalam pada itu, Anwar menegaskan pendiriannya untuk mempertingkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri termasuk dari negeri pembangkang demi kepentingan rakyat.

Sebagai contoh katanya kerajaan persekutuan tidak meminggirkan negeri-negeri pembangkang dalam Belanjawan Madani yang diumumkan Februari lepas dengan pertambahan peruntukan kepada negeri-negeri termasuk Terengganu, selain pengumuman projek tebatan banjir yang turut melibatkan Terengganu dan Kelantan.

Ahli parlimen Tambun itu juga berkata beliau terbuka dengan sebarang kritikan dan teguran daripada kerajaan negeri termasuk negeri pembangkang terhadap sebarang tindakan dan keputusannya asalkan ia tidak mempunyai unsur serangan peribadi yang memecah-belahkan rakyat.

“Saya akan tingkatkan kerjasama dengan negeri-negeri cuma saya harap rakan-rakan negeri terutama pembangkang di peringkat persekutuan juga akan dapat beri kerjasama dan laluan supaya kita dapat lakukan dengan cara baik,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sumbangan 100 Bakul Rahmah UMT (Universiti Malaysia Terengganu) kepada golongan miskin di Daerah Kuala Nerus.

Turut berlangsung, upacara penyerahan zakat daripada Maybank Bhd; Bank Rakyat; Etiqa Takaful Bhd; Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM); RHB Bank; AmBank Group Bhd; Perumahan Kinrara Bhd dan Takaful Malaysia Sdn Bhd berjumlah RM815,211 kepada Tabung Zakat Pelajar UMT.

Terdahulu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata kunjungan perdana menteri ke Terengganu pada hari ini adalah gambaran komitmen dan semangat hubungan proaktif antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri.

Menurut beliau, kunjungan ini secara langsung akan memperkukuh hubungan, seterusnya mewajarkan hasrat pembangunan wilayah yang seimbang di semua negeri.

“Konsep muafakat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri atas dasar kepentingan rakyat akan memberi harapan kepada mereka.

“Pemimpin adalah tempat rakyat mengadu dan bertanggungjawab membawa negara ke masa depan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata atas dasar menjaga hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, pemimpin juga perlu keluar daripada politik kuno dan dangkal yang tidak berkesudahan.