Saguhati Aidilfitri AKSB merencatkan bantuan pusat kepada negeri

Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan Dr Rosli Allani Abdul Kadir menyifatkan pemberian saguhati oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bernilai RM10,000 untuk ahli lembaga pengarah sebagai tindakan yang boleh merencatkan proses kerajaan pusat membantu negeri untuk membaiki perkhidmatan air.

“Jika benar sebagaimana disebut, bermakna tiada langkah positif dari kenyataan bekas Menteri yang menjadi asas perubahan pentadbiran AKSB dalam membaiki servis dan perkhidmatan mereka sekiranya ganjaran yang diperolehi tidak sepadan dengan hasil kerja mereka,” katanya merujuk kepada jawapan mantan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Ini dikhuatiri boleh merencatkan proses Pusat membantu Kerajaan Negeri dalam membaiki perkhidmatan air kiranya tadbir urus dan tata kelola yang baik tidak diamalkan secara tuntas oleh pihak pengurusan mereka.

“Ini termasuk soal pemberian tender secara runding terus yang dikatakan ada berlaku dan apa jua keputusan yang tidak meletakkan kepentingan awam sebagai asasnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menawarkan penyelesaian kewangan kepada masalah air ketika jamuan Aidilfitri kerajaan Madani di Kota Bharu.

Saguhati RM10,000 untuk ahli lembaga pengarah AKSB

Gambar surat AKSB berstatus sulit yang tular menyatakan pemberian wang saguhati Aidilfitri pada 2023 sebanyak RM10,000 kepada setiap ahli lembaga pengarah AKSB telah diluluskan.

Setiap kakitangan pula akan memperoleh RM200.00 manakala setiausaha syarikat Zaeidah Idris pula akan mendapat RM2000.

Rosli yang sedia maklum dengan sejarah AKSB turut menyatakan bahawa ketika ini syarikat tersebut 28 loji pembersihan air yang berupaya menghasilkan sebanyak 230 juta liter air.

Rosli turut menekankan bahawa kerajaan negeri pimpinan Pas perlu mengambil langkah drastik bekerjasama dengan kerajaan pusat sekiranya usahasama yang ditawarkan oleh Perdana Menteri gagal.

“Kerajaan Negeri perlukan langkah yang drastik dalam memastikan kerjasama yang boleh dibina antara Pusat dan Negeri dalam pembekalan air bersih ini di tahap terbaik demi memastikan setiap sen yang dilaburkan betul betul manfaatnya untuk rakyat Kelantan.

“Tanpa langkah yang proaktif dan berkesan, masalah bekalan air ini akan terus menjadi igauan buruk mereka yang saban hari berhadapan dengan masalah ketiadaan air bersih mahupun kualiti yang teruk dan tidak selayaknya diguna oleh rakyat sebuah negara yang sudah begitu lama merdeka.”