Sah Hadi Awang disiasat kerana pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

Sah Hadi Awang disiasat kerana pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

Seperti yang dijangka, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dipanggil pihak polis susulan ucapannya yang mempertikai bidang kuasa Lembaga Pengampunan.

Ia disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan hari ini yang memberitahu siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan 1948.

“Polis sedang menyiasat kenyataan Abdul Hadi yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan menerusi ceramahnya di Markas Pas Bakri, Muar pada 26 Ogos lalu.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pada masa sama, Kamarul turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu Agama, Raja dan Kaum (3R) demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.

Tegasnya, tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan.

Terdahulu, Abdul Hadi ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas Pas Kawasan Bakri mendakwa, cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.

“Undang-undang Islam dilaksanakan untuk mendidik bukan menyeksa,” kata Ahli Parlimen Marang itu.

BACA JUGA Bukit Aman panggil Hadi Awang sekali lagi berkait ucapan pilihan raya

COMMENTS

Wordpress (0)