Salahuddin ingatkan peniaga tidak kurangkan kualiti Menu Rahmah

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan peniaga agar tidak mengurangkan kualiti dalam penyediaan Menu Rahmah.

Katanya, setiap orang boleh menjual menu yang telah diniagakan sebelum ini, bagaimanapun kualiti dan rasa juga perlu dijaga.

”Model perniagaan itu macam biasa. Jangan kerana Menu Rahmah, dikecilkan atau dikurangkan kualiti ataupun rasanya.

”Jadi, sesiapa yang merasakan perlu mendapatkan Menu Rahmah ini, harganya hanya RM5 sahaja.

”Yang lain, selain (Menu Rahmah) boleh dijual pada harga pasaran yang ramai orang boleh beli, cuma Menu Rahmah ini akan menolong sebahagian rakyat Malaysia yang memerlukan makanan pada hari tersebut,” katanya.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata demikian menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau hari ini.

Kira-kira 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi set makanan tengah hari atau makan malam.

Dalam video tersebut, Ahli Parlimen Pulai berkenaan turut menambah, sesiapa sahaja boleh menikmati menu tersebut kerana ia adalah menu rakyat dan menu kasih sayang.

Pada 31 Januari lalu, rakyat Malaysia khususnya B40 boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5.

Hidangan itu boleh didapati di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara melalui program Menu Rahmah hasil inisiatif KPDN diterajui Salahuddin.

Menu Rahmah adalah hidangan seimbang merangkumi nasi dengan satu pilihan protein iaitu ayam atau ikan dan sayuran untuk membantu golongan yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Restoran yang terlibat dalam program itu adalah ahli daripada tujuh persatuan antaranya Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) serta Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.

BACA JUGA Makanan ringkas tapi berkhasiat: Orang ramai puji Menu Rahmah