Sanusi dianggap biadab, seolah-olah pertikai kuasa Sultan Kedah

Dakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa terdapat pihak yang cuba mempengaruhi Sultan Kedah agar beliau disingkirkan daripada Majlis Kewangan Negara disifatkan sebagai biadab.

Peguam Dr Zulqarnain Lukman berkata Majlis Kewangan Negara adalah membabitkan Perkara 108 (1)(Perlembagaan Persekutuan) yang wakil negerinya yang dilantik oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri.

“Kuasa untuk hantar wakil negeri ke Majlis Kewangan Negara adalah kuasa Tuanku Sultan.

“Bukan boleh pandai-pandai kata ada orang hendak pengaruhi Sultan untuk tukar orang lain,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily malam ini.

Zulqarnain berkata sekiranya Menteri Besar tidak boleh, perlu ada individu lain yang diyakini layak pada pandangan baginda.

“Jadi tidak patutlah dia (Sanusi) menyatakan ada gerakan untuk singkirnya kerana ia melibatkan kuasa Sultan,” ujarnya.

Jelas beliau Majlis Kewangan Negara merupakan platform bagi semua negeri berbincang mengenai lapan perkara penting termasuk peruntukan untuk negeri dan agihan cukai daripada Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau dalam hantarannya di Facebook menyatakan Sanusi perlu sedar bahawa Sultan Kedah mempunyai kebijaksanaan malah penasihat baginda adalah Pegawai Undang-undang negeri.

“Tuanku juga ada institusi sendiri. Ada pejabat sendiri. Ada pegawai sendiri,” katanya.

Jelasnya tindakan Sanusi menyatakan ada pihak lain cuba mempengaruhi Sultan Kedah seolah-olah merendah-rendahkan baginda.

“Kalau Tuanku tengok hang pa duk asyik cari gaduh dengan Federal (Persekuutuan) memang eloklah Tuanku hantar orang lain pi bincang elok-elok dengan PM10,” katanya.

Terdahulu laporan memetik Sanusi sebagai mendakwa terdapat usaha terancang menggantikannya dengan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan itu kerana gerakan berkenaan belum menjadi realiti.

“Saya bercakap sebelum benda ini berlaku dan saya tak boleh biarkan perkara seperti ini berlaku. Kalau orang minta bukti memanglah tiada sebab gerakan ini belum menjadi realiti,” katanya lapor Berita Harian.

Sanusi turut mendakwa gerakan itu dibuat kerana kelantangannya mengkritik kerajaan Persekutuan dan wujud usaha melobi Sultan Sallehuddin Badlishah bagi tujuan demikian.

Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai perdana menteri atau mana-mana menteri dilantik manakala setiap negeri diwakili individu diperkenan sultan atau Yang di-Pertua Negeri.

Antara peranan majlis itu adalah menasihati berhubung pengurusan kewangan kerajaan pusat dan negeri selain pembahagian hasil cukai serta royalti.

BACA JUGA: Cubaan Sanusi raih simpati, dihantui kesalahan lalu