Sany ucap ‘selamat memancing’ kepada Shahidan

Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan secara menyindir mengucapkan ‘selamat memancing’ dan selamat mencuba kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sindiran tersebut susulan tuduhan pemimpin Umno yang kini menjadi wakil rakyat Pas itu kononnya Kerajaan Perpaduan tidak memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Sany yang merupakan wakil rakyat dari AMANAH itu menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan hanya baru sebulan lebih dibentuk dan belum membuat apa-apa keputusan mengenai peruntukan terbabit.

“Datuk Seri Shahidan menuduh kerajaan tidak adil apabila tidak memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan memberikannya hanya kepada Ahli Parlimen kerajaan sahaja.

“Saya ingin tanya Shahidan, bila pula kerajaan membuat keputusan mengenai perkara ini. Belanjawan pun hanya sebahagian dari peruntukan sahaja dibentangkan untuk membolehkan gaji kakitangan kerajaan dibayar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh sebab itu, Sany menyifatkan tuduhan Shahidan tersebut hanya ingin memancing sahaja iaitu untuk menekan Kerajaan Perpaduan agar mereka diberikan peruntukan sama dengan wakil rakyat kerajaan melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan nanti.

“Bagi saya juga, tuduhan Shahidan ini bersifat melulu dan berniat jahat,” tegasnya lagi.

Semalam, Shahidan dilapor mendakwa keputusan Kerajaan Perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak memberikan peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang adalah tidak adil.

Namun, beliau menyatakan akan membuat perbincangan secara berterusan bersama pihak terbabit bagi memastikan isu berkaitan peruntukan itu dapat diselesaikan.

Untuk rekod, Anwar dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari depan.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul sebelum ini dilapor berkata, tiga minggu diperuntukkan bagi keseluruhan proses pembentangan Belanjawan 2023 termasuk perbahasan sebelum diluluskan.

Baca juga ‘Tutup dulu sistem visa’ – Rakyat gesa kerajaan sekat individu dari China