SD sokong Muhyiddin: ‘Biar pucuk pimpinan Umno tentukan kaedah adili mereka’

Pendedahan Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi nama 10 orang Ahli Parlimen BN yang menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke 15 lalu telah menggemparkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) dalam beberapa hari ini.

Sehubungan itu, banyak perwakilan yang mahu parti mengambil tindakan ke atas Ahli ahli Parlimen berkenaan yang tidak menunjukkan taat setia kepada Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi yang menentukan hala tuju parti.

Bagi Timbalan Ketua Bahagian Umno Sungai Buloh, Datuk Harrison Hassan parti perlu mengenakan tindakan seadilnya kepada pemimpin pimpinan Umno berkenaan supaya hal sama tidak berulang pada masa hadapan.

Bagaimanapun kata Harrison lagi, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk mengadili mereka yang terlibat.

“Apa pun saya serah kepada pucuk pimpinan parti menentukan kaedah-kaedah mengadili 10 orang ahli parlimen ini.

“Kaedah itu juga saya mohon supaya dibuat secara seadil-adilnya kerana seperti juga di dalam mana-mana mahkamah, pihak yang dituduh harus diberikan ruang untuk membela dan mempertahankan diri sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui di WTC Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau berpendapat kesemua 10 Ahli Parlimen BN itu tentunya mempunyai sebab munasabah yang telah dikemukakan mereka.

“Tak silap saya pada semalam, satu kenyataan telah dibuat oleh salah seorang daripada 10 Ahli Parlimen ini, iaitu Ahli Parlimen Jelebu tentang alasan kenapa ditandatangani SD tersebut.

“Ketika itu katanya, 10 orang Ahli Parlimen ini mengikut keputusan yang telah diputuskan awal dalam Perhimpunan Agung Umno yang lepas iaitu untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) atau pun lebih kepada ‘no Anwar no DAP’.

“Jadi atas sebab ini saya percaya kenyataan daripada Ahli Parlimen Jelebu itu, itulah antara sebabnya (mengapa mereka bertindak demikian),” ujarnya lagi.

Kelmarin, Ahmad Zahid mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada Umno yang menandatangani SD tersebut ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden Umno yang diadakan secara tertutup sempena PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

BACA LAGI Pengundi Kedah tiada masalah terima DAP