Sejumlah 49 dari 56 kerusi DUN Selangor telah dimuktamadkan

Pembahagian kerusi untuk 49 dari 56 kerusi DUN Selangor membabitkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional telah pun dimuktamadkan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga adalah pengerusi PH Selangor berkata hanya tujuh kerusi yang belum selesai rundingannya.

“Sudah ada 49 kerusi yang ‘confirm’ (sah). Saya percaya masing-masing tahu dan kita mempunyai peluang cerah (menang).

“Kalau 49 kerusi (selesai dimuktamadkan), maknanya ada tujuh lagi belum selesai. Jadi, dengan tujuh belum selesai itu, sudah terlalu sedikit berbanding 56 kerusi keseluruhan…satu pencapaian yang sangat baik,” katanya sidang media di Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.

“Maknanya dalam perbincangan, sudah pasti kita tidak akan buka balik kecuali sangat perlu dan sangat minimum. Jadi (ini) perkembangan yang besar selepas dua kali pertemuan di peringkat negeri dan dua kali di peringkat pusat..maknanya satu perkembangan sangat bagus,” katanya.

Beliau yang juga Adun Sungai Tua turut mengulas dakwaan bahawa BN mahukan 17 kerusi DUN Selangor dan bukannya 10 yang ditawarkan oleh PH.

“Perbincangan sedang dilakukan, selagi kata putus belum dibuat segalanya belum muktamad.”

Beliau menambah bahawa proses memuktamadkan kerusi akan dimuktamadkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga adalah pengerusi jawatankuasa parti kerajaan perpaduan.

“Jadi apa-apa pun perkara dalam perbincangan sewajarnya ‘keep on’ (terus berjalan), bukan dibahaskan..ianya belum jadi kata putus,” katanya.

Amirudin turut menegaskan aspek kemenangan kerusi berbanding dengan pembahagian kerusi itu sendiri.

Ahli jawatankuasa Umno Selangor Jamal Yunos telah meredakan keadaan dengan menyatakan bahawa 17 kerusi yang dituntut oleh partinya hanyalah cadangan BN untuk membolehkan parti komponen MCA dan DAP bertanding di dalam pilihan raya negeri.

Selain Selangor, negeri lain yang akan turut berdepan pilihan raya negeri adalah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.