Sekilas pandang: PRN Pulau Pinang

Sejumlah 40 kerusi menjadi pertaruhan di dalam pilihan raya negeri (PRN) yang terletak di dalam 12 kawasan parlimen. Meskipun Pakatan Harapan yang diketuai oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dijangka mengekalkan genggaman ke atas pentadbiran, ada sedikit kegusaran bahawa parti komponen PH lain akan terkesan ekoran daripada gelombang hijau. Chow sendiri merupakan wakil rakyat dari DAP untuk kawasan DUN Padang Kota dan Parlimen Batu Kawan.

Kegusaran itu sememangnya wajar kerana nama besar yang tumbang sewaktu pilihan raya umum ke 15 ialah Nurul Izzah Anwar di kawasan parlimen yang menjadi kubu kuat tradisi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim – Permatang Pauh.

Kita berbalik kepada kerusi DUN. Langkah Sheraton menyebabkan dua Adun Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan dan Adun Teluk Bahang Zolkifly Md Lazim meninggalkan blok kerajaan dan menyertai pembangkang.

Selain mereka berdua, Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin dan Adun Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim dari PKR menyertai Bersatu. Mereka berdua penyokong kuat mantan timbalan presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang kini hanya Adun Bukit Antarabangsa.

Pasca pilihan raya umum ke 15 (PRU15) memperlihatkan penjajaran semula politik yang turut memberikan kesan kepada kerusi di DUN.

Sekarang kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan terdiri dari DAP (19), PKR (12), Amanah (2) dan Umno (2). Blok pembangkang pula ialah Pas (1) dan Bersatu (4).

Pasca PRU 14 menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan terdiri dari 37 kerusi DUN iaitu DAP (19), PKR (14), Amanah (2) dan Bersatu (2). Blok pembangkang ketika itu hanya terdiri dari Umno (2) dan Pas (1).

Dalam konteks kerjasama PH-BN, apakah kerusi pembangkang boleh dirampas kembali? Ada dua faktor yang memerlukan perhatian sewajarnya dari PH iaitu pengundi 18 yang banyak menyokong gandingan Pas – Bersatu iaitu Perikatan Nasional. Faktor kedua ialah peningkatan pengundi Melayu yang turut membimbangkan satu lagi komponen PN iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia.

Untuk bahagian pertama, kita santuni dengan kerusi yang kini di dalam genggaman Perikatan Nasional. Bahagian kedua akan menjurus kepada kerusi-kerusi yang bergolak kerana gelombang hijau. Dalam erti kata lain kerusi Melayu yang diwakili PKR dan Amanah.

Kerusi Penaga dimenangi oleh Pas buat kali pertama dalam tahun 2018. Adunnya Yusni Mat Piah memperoleh majoriti 1,132 undi. Kawasan yang mempunyai lebih daripada 90% pengundi Melayu ini menyaksikan penurunan undi untuk calon Umno-BN sejak 2004. Dalam PRU ke 13, Umno mengekalkan kerusi tersebut dengan 1,162 undi sahaja. Penaga memilih dengan 19,089 pengundi. Berdasarkan trend lalu, Penaga dipukul badai yang menghayunkan kepada PAS.

Bertam dimenangi oleh Bersatu ketika ia bersama Pakatan Harapan di dalam pertandingan tiga penjuru yang turut disertai Umno dan Pas dengan majoriti 217 undi. PRN ini pasti menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PH-BN dan PN. Sekali imbas PN boleh menang dengan majoriti 2,000 undi tetapi Bertam bukan Penaga. Undi bukan Melayu berdasarkan PRU14 adalah sekitar 32 peratus. Gabungan PH-BN wajib merangkul undi bukan Melayu ini. Gabungan undi Melayu yang ada pada PH-BN pastinya boleh membenam PN di Bertam.

Di Telok Bahang, perebutan kerusi sejak tahun 2004 adalah satu lawan satu. PRU 14 memperlihatkan pertandingan tiga penjuru pertama membabitkan Bersatu, Umno dan Pas. Sebelum itu ia kerusi tandingan Umno di BN dan PKR sejak 2008. Majoriti yang diperoleh oleh calon pemenang kurang dari 1000 undi sejak tahun 2008. Zolkifly menang dengan 425 undi meskipun pengundi ketika itu 14,339. PH-BN perlu pastikan 33 peratus undi bukan Melayu dan lebih kurang 24 peratus undi Melayu teguh di belakang mereka.

Kerusi Seberang Jaya diyakini boleh dikembalikan kepada PKR memandangkan sokongan kepada Afif yang menang di atas tiket PKR telah meningkat sebanyak 4,962 undi dalam PRU 14. Kerusi ini mempunyai 34 peratus undi bukan Melayu.

Sungai Acheh juga mempunyai corak pengundi yang dan majoritinya kurang 1,000 undi. Cabaran untuk PH-BN adalah memenangi semula hati pengundi Melayu dan pastikan pengundi bukan Melayu pulang untuk mengundi.

Setakat ini belum ada laporan berkenaan penangan gelombang hijau di kerusi – kerusi yang telah dibincangkan di atas