Sektor IKS tumpuan Belanjawan 2023 – Anwar

Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini harus diberikan ruang serta galakan mencukupi agar golongan itu dapat ditingkatkan dari segi teknologi supaya dapat bersaing serta mencipta lebih banyak pekerjaan kepada rakyat.

Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pemerkasaan perniagaan termasuk IKS yang akan diberi penekanan dalam Belanjawan 2023.

“Melihat kepada kedudukan semasa pasca Covid, kemelesatan ekonomi di Eropah yang menuntut kita untuk lebih berani memperkenalkan dasar-dasar yang boleh memberi manfaat kepada semua.

“Maka sebab itulah saya tekankan, peranan bukan sahaja kepada syarikat-syarikat besar. Peranan bagi IKS dalam negara harus diberikan perhatian.

“Mereka harus diberi ruang agar dapat ditingkatkan dari segi teknologi dan digitalisasi supaya dapat bersaing serta membawa pekerjaan lebih banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Wisma Chinese Amber, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong.

BACA LAGI Menu Rahmah: Makanan RM5 dan ke bawah