Selangor bela wanita, beri geran rumah perlindungan dan insentif pengasuh

Kerajaan Selangor telah menyerahkan sumbangan geran kepada sembilan buah rumah perlindungan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM180,000 sempena sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini.

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata geran itu bertujuan untuk membantu rumah perlindungan di Selangor menaik taraf fasiliti dan membangunkan kapasiti kakitangan serta pemandiri.

“Menerusi sambutan ini juga, seramai 10 orang pengasuh telah menerima Geran Kursus Intensif Pengasuhan Kanak-kanak berjumlah RM2,000 bagi setiap penerima manfaat.

“Geran tersebut diharap membantu para pengasuh menambah baik servis dan perkhidmatan mereka dalam bidang pengasuhan,” katanya dalam kenyataan.

Siti Mariah (enam dari kiri) bergambar bersama penerima geran Kursus Insentif Perkembangan Kanak-Kanak 2022 dalam sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat negeri Selangor di Sepang pada 11 Mac 2023.

Siti Mariah berkata pada tahun ini kerajaan negeri juga telah mengiktiraf peranan 10 tokoh yang menerima pelbagai anugerah atas sumbangan dan bakti mereka dalam pelbagai sektor.

Sambutan Hari Wanita Sedunia 2023 dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga, Wanita Berdaya Selangor serta Gabungan Persatuan Wanita Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCWO) di Sepang pada Sabtu lalu.

Perasmian sambutan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu.

BACA JUGA: Selangor beri ruang peranan wanita berkembang maju