
Selangor catat pelaburan tertinggi cecah RM55.19 bilion
Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi khususnya dalam sektor pembuatan iaitu mencecah RM55.19 bilion untuk tempoh dari 2019 hingga 2022.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pencapaian itu susulan daripada kepercayaan pelabur untuk melabur di negeri Selangor hingga mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya pelabur domestik dan luar negara disifatkan amat penting kerana secara tidak langsung Selangor berupaya menyumbang hampir satu perempat daripada KDNK negara.
“Ekonomi negeri Selangor terus kukuh meskipun dilanda krisis kesihatan bermula tahun 2020.
“Pada tahun 2021, Selangor menyumbang 24.8 peratus kepada KDNK dan saya yakin Selangor mencapai angka 25 peratus pada tahun lalu (2022),” katanya menerusi Facebook miliknya.
Amirudin hadir pada majlis Anugerah Apresiasi Pelabur Selangor 2019-2022 anjuran Invest Selangor Berhad (ISB), semalam.
Pada majlis itu, seramai 32 pelabur domestik dan luar negara menerima anugerah berdasarkan enam kategori antaranya Pelaburan Tertinggi di Selangor oleh Syarikat Domestik, Pelaburan Tertinggi di Selangor oleh Syarikat Asing dan Lokasi Pelaburan Paling Digemari.
Pada majlis itu juga, Exco PelaburanDatuk Teng Chang Khim diberikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kerana kepemimpinan, dedikasinya yang cemerlang dan sumbangan tidak ternilai kepada negeri Selangor.
Anugerah Penghargaan Pelabur Selangor yang diperkenalkan pada 1999 bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada pelabur yang cemerlang di negeri itu.
Amirudin berkata, anugerah diberikan bukti sumbangan pelabur yang cemerlang dan pencapaian luar biasa.
“Anugerah ini bagi mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada para pelabur atas sumbangan besar kepada pertumbuhan serta pembangunan ekonomi negeri melalui aktiviti pelaburan.
“Penganugerahan ini diberikan berdasarkan projek-projek perkilangan yang telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),”katanya.
Tambah beliau, para pelabur turut menyatakan bahawa kestabilan pentadbiran, perpaduan rakyat serta dasar mesra perniagaan kerajaan negeri menjadi faktor utama kemakmuran ekonomi dan tarikan buat mereka.
“Insha-Allah pentadbiran ini akan meneruskan kesinambungan prestasi cemerlang memacu pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan dasar-dasar yang bermanfaat kepada rakyat,” ujarnya.