Selangor lancar Skim Bekalan Air Rasau, salur tambahan 1,400 juta liter air

Satu lagi berita baik untuk rakyat Selangor apabila hari ini kerajaan negeri menyempurnakan pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau yang berlangsung di Kampung Seri Cheeding, Banting, Kuala Langat.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang merasmikan majlis itu berkata, apabila siap nanti, Skim Bekalan Air Rasau akan mampu menyalurkan tambahan sebanyak 1,400 juta liter air (JLH) sehari.

Beliau berkata tambahan itu melibatkan 700 juta liter sehari apabila Fasa 1 dijangka siap pada tahun 2025 manakala 700 juta liter sehari selepas Fasa 2 siap pada tahun 2030.

“Alhamdulillah hari ini saya telah merasmikan Pecah Tanah Skim Bekalan Air Rasau yang berlangsung di Kampung Seri Cheeding, Banting.

“Perasmian Skim Bekalan Air Rasau sudah pasti merupakan berita baik bagi warga Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya susulan daripada Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang dilancarkan pada 18 Mei lalu untuk meningkatkan keterjaminan bekalan air.

“Projek ini merupakan antara projek di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1),” katanya dalam hantaran di Twitter selepas majlis tersebut.

Hadir sama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, Exco Infrastruktur Ir Izham Hashim dan Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim.

Amirudin berkata Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau ini dilengkapi dengan proses pengozonan bagi menjamin mutu kualiti air sentiasa mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Jelas beliau kerajaan negeri melalui Air Selangor telah memperuntukkan RM3.42 bilion bagi membangunkan LRA Sungai Rasau manakala Sistem Agihan Fasa 1, manakala Fasa 2 melibatkan kos sebanyak RM2.12 bilion.

Jelasnya anggaran kos itu merangkumi aspek pembinaan, perundingan, penyeliaan dan pengambilan balik tanah.

Pada masa sama, kata beliau Kerajaan Persekutuan membiayai peruntukan sebanyak RM1.18 bilion menerusi geran Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim bagi pembinaan kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang mempunyai dwifungsi sebagai sumber bekalan air serta penebatan banjir.

“Kolam-kolam yang telah dikenal pasti akan berfungsi sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwifungsi pertama di negara ini dengan keupayaan pembekalan air yang dapat menangani kemarau serta menyimpan air bagi tujuan penebatan banjir,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata Skim Bekalan Air Rasau akan memberi nafas baharu kepada Sungai Klang dengan mengekstrak air ke Loji Rawatan Air dan dijangka dapat menyumbang 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran air pada tahun 2030.

Jelasnya unjuran itu melibatkan peningkatan sebanyak 13 peratus iaitu pada kadar kini sebanyak tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan sumber air negeri.

“Memahami kepentingan air kepada rakyat negeri Selangor, kerajaan negeri sentiasa peka dengan isu semasa berkaitan air dan menambah baik sistem bekalan air untuk manfaat rakyat.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan bagi menjayakan usaha ini demi kepentingan kira-kira lapan juta penduduk di negeri Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” ujarnya.

BACA JUGA: Air Selangor sedia RM35 bilion, ganti paip usang dan tingkat bekalan air bersih