Selangor wajibkan pengendali makanan pakai pelitup muka

Berkuat kuasa 1 Januari ini, semua penyedia dan pengendali makanan di Selangor diwajibkan memakai pelitup muka.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan, peraturan baharu itu adalah salah satu kaedah untuk menjaga kebersihan.

“Semua penyedia dan pengendali makanan di Negeri Selangor wajib mematuhi arahan tersebut.

“Tindakan kompaun akan dikenakan kepada mereka yang ingkar arahan tersebut yang menjadi antara syarat dalam mendapatkan kelulusan lesen perniagaan,” maklum MPS di laman Facebooknya.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka dalam kalangan pengusaha restoran dan penjaja bermula tahun depan.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata, pemantauan dan penguatkuasaan akan dijalankan Jabatan Pelesenan dan Penjaja dengan bantuan Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan.

Beliau berkata, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 7 September lalu mensyaratkan pemakaian pelitup muka kepada penyedia, pengendali makanan dan minuman di Selangor dan Jabatan Pelesenan dan Penjaja telah mengeluarkan arahan supaya mematuhi perkara itu.

 

BACA JUGA Kerajaan Perpaduan dituduh luar tabii, Menteri masuk Pusat Tarbiah boleh pula