Selepas diserang anak Kelantan, KP Pas anggap pengkritik jahil maklumat

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Kamal Mohamad menganggap pengkritik isu sagu hati Aidilfitri berjumlah RM10,000 kepada setiap Ahli Lembaga Pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebagai tidak tahu prosedur dan jahil maklumat.

Reaksi garang pemimpin sayap anak muda Pas negeri itu susulan kenyataannya bahawa pemberian sagu hati kepada ahli lembaga pengarah setahun sekali adalah prosedur biasa.

“Awak kena tengok usaha dan progress yang AKSB sudah buat dan sedang buat.

“… sebab tak tahu prosedur dan jahil maklumat,” tegasnya membalas salah satu kritikan warganet di ruangan komentar hantaran di Facebook rasmi pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu.

Jelasnya, pemberian tersebut sebagai “menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan-keputusan dasar kepada pihak pengurusan”.

“Lagi pula sebahagian besar lantikan ahli lembaga pengarah iaitu tujuh daripada sembilan orang adalah anggota yang profesional dalam aspek pengurusan dan Teknikal air yang tiada apa-apa jawatan dalam parti,” katanya hari ini.

Ekoran itu, orang ramai termasuk anak dan perantau Kelantan mengecam dan mempersenda kenyataan Mohd Kamal dengan mengaitkan masalah berlarutan air di negeri itu.

Ada yang turut secara sinis menyebut kembali langkah kerajaan negeri Kelantan beberapa tahun lalu membelanjakan RM3.5 juta untuk membeli sejumlah kereta Mercedes Benz sebagai kegunaan rasmi pimpinan negeri.

“Isu air, kualiti dan kuantiti air di Kelantan amat bermasalah. Tak dinafikan pun negeri lain (ahli lembaga pengarah) diberi bonus tapi tidaklah isu air besar macam di Kelantan.

“Beli Mercedes pun ada dalil, inikan pula sagu hati Raya.

“Perah otak pun keluar air Milo. Kalau tak perah, mungkin keluar air kopi o kaw.

“Perah minda untuk gagal menyelesaikan masalah,” demikian antara ribuan komentar dan sindiran warganet.

Sejak semalam, dokumen berstatus ‘sulit’ mengenai pemberian sagu hati raya kepada Ahli Lembaga Pengarah AKSB sebanyak RM10,000 tular di media sosial.

Mengikut laman web rasmi AKSB, terdapat sembilan ahli lembaga pengarah syarikat itu termasuk Dr Mohamad Hadzri Yaacob.

Dalam notis itu juga dimaklumkan mengenai pemberian saguhati kepada semua kakitangan AKSB bernilai RM200 manakala setiausaha syarikat mendapat RM2,000.