
Selepas disoal siasat, Tun M anggap bercakap tentang sejarah bukan jenayah
Selepas beberapa hari disoal siasat oleh polis atas dakwaan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap bercakap tentang sejarah bukan jenayah.
Bekas perdana menteri itu berkata beliau bersedia didakwa atas kenyataannya berkaitan sejarah Kedah dan Proklamasi Orang Melayu.
Ahli Parlimen Langkawi itu berpendapat undang-undang tidak pernah menghalang sesiapa sahaja untuk bercakap tentang sejarah, melainkan membabitkan cerita palsu.
“Demokrasi memperuntukkan penggulingan kerajaan melalui pilihan raya atau melalui undi tidak percaya.
“Mengenai sejarah, undang-undang tidak melarangnya. Hanya jika kita mempromosikan cerita palsu untuk tujuan yang salah.
“Tetapi bercakap benar tentang masa lalu bukanlah satu jenayah. Seperti kata George Santayana, mereka yang melupakan sejarah akan mengulangi kesilapan sama berulang kali,” ciap beliau di Twitter.
Jelasnya, jika benar kenyataannya itu salah, ia harus dibuktikan dan menyifatkan tindakan menghantar polis untuk menyoal siasatnya adalah satu bentuk ugutan.
Pada 2 Jun lalu, Mahathir disoal siasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.