Selepas empat hari siasat, Jakim belum ada maklumat terkini

Selepas empat hari siasatan terhadap seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengutuk kerajaan di masjid, masih tiada perkembangan terkini setakat hari ini.

“Yang terkini kami tiada maklumat lagi.”

Itu maklum balas Pegawai Komunikasi Korporat Jakim, Norzaidan Hamad berhubung isu seorang Penolong Pengarah Kanan yang juga seorang penceramah mengutuk Kerajaan Perpaduan, minggu lalu.

Dihubungi Harapan Daily pagi tadi, beliau berkata, pihaknya akan menyalurkan maklumat menerusi media sosial Jakim sekiranya mempunyai perkembangan terbaharu.

“Belum. Ikut kenyataan terakhir yang dikeluarkan di Facebook Jakim. Yang terkini kami tiada maklumat lagi,” katanya.

Beliau memberi reaksi sedemikian selepas diminta mengulas perkembangan terkini siasatan terhadap pegawai Jakim yang menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik dan mengutuk kerajaan.

Ceramah bagi slot Kuliah Subuh yang turut mengandungi perihal lagu ‘Hoi, hoi ya hoi’ itu dipercayai dirakam di Masjid Kampung Jenjarom di Kuala Langat, Selangor pada 2 Januari lalu.

Tindakan pegawai Jakim berkenaan dikecam orang ramai apabila dilihat memperalat masjid dengan sentimen politik kepartian dan kebencian terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Jakim dalam reaksinya pada lewat petang 5 Januari lalu hanya memaklumkan sudah memulakan siasatan terhadap individu terlibat.

Menerusi kenyataan di media rasmi jabatan itu, pegawai berkenaan sudah dipanggil untuk siasatan lanjut bagi memulakan prosiding tatatertib.

Jelas Jakim lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan nama baik perkhidmatan awam.

Baca juga Pegawai JAKIM guna kuliah subuh ‘hentam’ Kerajaan Perpaduan?