
Penyokong taasub Pas berdalih hanya gurauan ‘sembelih’ harga
Selepas tular kenyataan ekstrem berbaur hasutan yang dilihat menghasut ‘pakat sembelih’, seorang individu dipercayai penyokong taasub Pas kemudiannya tampil berdalih.
Pengguna Facebook atas nama Mizan Aziz (gambar atas) mendakwa sembelih yang dimaksudkannya itu ialah ajakan kepada peniaga untuk mengenakan bayaran yang melampau atau melebihi harga pasaran.
“Bagi orang Terengganu, kalau tahu mereka membayar lebih, mereka akan kata dah kena sembelih.
“Itu makna sembelih dalam kontak (konteks) status saya itu,” katanya menerusi hantaran lewat petang semalam.
Dia juga berkata, status itu dimuatnaik sebagai sindiran sinis kepada kempen boikot perniagaan terhadap penyokong Pas.
“… sebab itu status tersebut hanya meletakkan walanon (gelaran orang Pas kepada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim) saja bukan semua rakyat Malaysia.
“Sekaligus, ianya hanyalah gurauan saya dengan rakan rakan FB yang faham maksud saya,” dalihnya lagi.
Malah, Mizan menganggap ajakan sembelih hanya untuk peniaga itu sebagai hak kebebasan bersuara.
“Kalau status saya telah dilaporkan (kepada) polis, maka biarkan polis menyiasat dengan adil dan saksama bukan terus menyimpulkan saya bersalah.
“Di mana kebebasan bersuara?” soalnya pula.
Sebelum ini, tular hantaran warga emas berkenaan yang kemudiannya mengundang kebimbangan orang ramai dan menuntut pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas.
“Guane kate kalu musim cuti ni ada walanon hok datang cuti Teganu kite pakat sembelih?” kata Mizan.
Bagaimanapun, hantaran itu akhirnya dipadam tetapi tangkap layar kenyataan melampau lelaki berkenaan masih tersebar di media sosial.
BACA JUGA Perkukuh naratif Islam, kita tiada masa yang mewah