Selepas lebih dua dekad Anwar ‘disingkir’ Putrajaya, Presiden Jerman kembali melawat Malaysia

Selepas lebih dua dekad Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘disingkir’ dari Putrajaya, Presiden Jerman hari ini sepentas bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri.

Lawatan Frank-Walter Steinmeier dan delegasinya yang menjengah hari kedua hari ini menyaksikan hubungan Kuala Lumpur-Berlin dapat dieratkan.

Anwar Ibrahim

Kali terakhir, Presiden Jerman mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia ialah 26 tahun lalu, iaitu pada April 1997.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memaklumkan petang ini beliau dijadualkan akan mengadakan pertemuan dengan Steinmeier di Putrajaya.

“Kunjungan ini merupakan peluang terbaik untuk mengukuhkan hubungan serta kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Untuk rekod, Anwar, 75, yang juga Ahli Parlimen Tambun pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum dipecat pada 1998.

Beliau yang juga Presiden PKR kemudiannya dipenjarakan atas tuduhan yang menurutnya adalah percubaan bermotifkan politik bagi menamatkan kerjayanya.

Sementara itu, Wisma Putrajaya dalam kenyataan semalam berkata, lawatan Steinmeier itu akan memberikan peluang terbaik kepada Malaysia dan Jerman untuk mengukuhkan lagi hubungan baik serta kerjasama pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU), Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia.

Jumlah pendapatan Malaysia dengan Jerman tahun lalu meningkat sebanyak 10.9 peratus iaitu RM59.87 bilion berbanding RM53.99 bilion (US$13.03 bilion) pada 2021.

BACA JUGA Ekonomi negara semakin pulih, tak perlu keluarkan wang KWSP