SELHAC komponen penting rancakkan industri halal Selangor

Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) 2023 menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang istimewa bagi membolehkannya menerajui kemajuan dan kemahiran dalam industri halal negara.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata negeri ini mempunyai kedudukan strategik selain mempunyai faktor penyumbang seperti bidang penyelidikan dan pengajian, pengeluaran hasil yang besar, kumpulan tenaga kerja mahir dan ekosistem dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“SELHAC adalah komponen penting dalam rancangan ekonomi kerajaan negeri yang lebih besar sepertimana yang digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Industri halal telah diperuntukkan untuk memartabatkan lagi negeri Selangor ke arah menjadi ‘Gerbang Halal Antarabangsa’ selaras dengan tema SELHAC 2023,” kata Amirudin dalam ucapan perasmian SELHAC 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Amirudin melawat reruai syarikat yang menyertai SELHAC 2023 di WTC, Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023.

Menurut Amirudin, SELHAC merupakan wahana kepada kerajaan Selangor termasuk semua agensinya ke arah membina ekosistem perniagaan halal yang lebih dinamik dan berkesan.

“Ekonomi halal yang dipromosikan memberi impak positif dan bersih terutama untuk alam sekitar kerana produk yang dihasilkan seharusnya menjadi sumber yang beretika.

“Dalam aspek ini, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan penanda aras sosial tadbir urus (ESG) mempunyai banyak persamaan dengan nilai halal,” katanya.

Tambahnya bagi mengiktiraf sesuatu perkara yang mempunyai nilai dan piawaian akan memberi manfaat kepada umat Islam dan dunia global untuk mewujudkan peluang peningkatan hasil.

Dalam majlis berkenaan, Amirudin menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) peluang niaga antara anak syarikat MBI Halal International Selangor (HIS) dengan Bank Islam.

Beliau turut melawat reruai yang menghimpun kira-kira 200 pempamer dari dalam dan luar negara antaranya Bangladesh, Australia, United Kingdom, Thailand, Vietnam dan Kanada.

Antara pempamer tempatan yang terlibat adalah seperti MBI, Bank Islam, Maybank Islamic Berhad, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Farm Fresh Malaysia, Yayasan Hijrah Selangor dan Sate Kajang Hj Samuri.

Persidangan ini berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad dari 9 pagi hingga 5 petang menyasarkan nilai padanan perniagaan sebanyak RM50 juta selain kehadiran lebih 8,000 pengunjung.