10 dalil Anwar ‘lebih zalim’ dari Mahathir

MP Pendang Datuk Awang Solahudin Hashim mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih zalim dan pendendam dari berbanding mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad?

Apa dalilnya? Saya sempat menulis 10 dalil untuk mengiyakan kata MP Pendang yang amat budiman itu.

1. Atas arahan Mahathir sebagai Perdana Menteri, ustaz Ibrahim Libya serta berbelas-belas pengikutnya yang juga ahli Pas di Kampung Memali telah ditembak oleh anggota keselamatan kerana dikatakan menentang kerajaan secara kekerasan. Anwar lebih zalim dari Mahathir.

2. Ramai pemimpin Pas dan pengikut Pas telah ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika era Mahathir. Anwar lebih zalim dari Mahathir.

3 Tahun 1999, Mahathir selaku PM merampas royalti minyak Terengganu. Anwar lebih zalim dari Mahathir.

4. Mahathir pernah menyatakan Pas parti sesat. Anwar lebih zalim dari Mahathir.

5. Sebaik sahaja Mahathir jadi PM kali kedua pada tahun 2018, beliau terus tukar Pesuruhjaya SPRM, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan terus memburu musuh-musuh politiknya kecuali yang sanggup menyokongnya dan menyertai partinya. Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10 (PM10). Hingga kini beliau tidak menukar sesiapa pun yang memegang jawatan penting tersebut. Anwar lebih zalim dari Mahathir.

6. Apabila pemimpin Pas memfitnah Anwar, akhirnya takut disaman, pemimpin Pas tersebut memohon maaf, Anwar terus memaafkannya. Anwar lebih zalim dan pendendam dari Mahathir.

7. Anwar jadi PM10, dia tidak pernah sekat Mahiaddin bercuti ke luar negara seperti Mahathir sekat Najib ke luar negara. Anwar lebih zalim dari Mahathir.

8. Meskipun Mahathir telah menzalimi dan menfitnah Anwar sehingga beliau terpenjara dan dipukul setengah mati, bila Anwar jadi PM10, sedikit pun dia tidak mengusik Mahathir. Anwar lebih zalim dan pendendam dari Mahathir.

9. Waktu era Mahathir, para Menteri Besar dari negeri yang dikuasai pembangkang dipinggirkan. Bila Anwar jadi PM10, kesemua MB/KM dijemput hadir. Anwar lebih zalim dari Mahathir.

10. Penubuhan Bank Islam, Takaful Islam, Insuran Islam, Universiti Islam, dasar pemakaian menutup aurat di sekolah-sekolah diperkenalkan oleh Anwar, namun Anwar tetap lebih zalim dari Mahathir.

Tidak larat mahu tulis betapa zalimnya Anwar Ibrahim.

Kerana kezalimannya itulah Sultan Brunei, Hassanal Bolkiah ibni Omar Ali Saifuddien III sanggup datang ke Malaysia bertemu beliau.

Pemimpin pejuang Palestin paling awal ucap tahniah kepada beliau kerana dilantik sebagai PM10 dek kerana zalimnya Anwar Ibrahim.

Satu-satunya dalam dunia seorang PM yang zalim tidak mahu mengambil gaji sebagai PM selagi rakyat susah. Satu-satunya PM zalim dalam dunia yang memotong gaji menteri-menterinya. PM zalim itu adalah Anwar Ibrahim.

Ingatlah, jika kita menuduh seseorang yang baik itu sebagai zalim, kita bimbang kita adalah paling zalim sebenarnya. Zalim kepada diri sendiri iaitu tidak berlaku adil.


Penulis Wan Fauzuldin Wan Samad ialah ahli PKR cabang Paya Besar

BACA JUGA: Minta maaf dalam 3 hari… Awang Hashim