
‘Setiap saat begitu penting buat rakyat Palestin’
Setiap minit dan saat begitu penting kepada rakyat Palestin kerana pelbagai perkara boleh berlaku, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, keputusan resolusi gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza semalam amat penting kerana tindakan segera perlu diambil bagi membantu penduduk Palestin, terutama di Gaza.
“Kita lihat negara yang menyokong resolusi itu kebanyakannya bukan negara Islam dan sudah pasti kerajaan sambut baik keputusan yang dibuat 120 negara itu.
“Kita berada pada saat yang kritikal. Terbaru, saya dengar talian internet sudah mula putus,” dipetik BH.
Beliau berkata demikian di Pusat Agihan Zakat (PAZA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan cawangan Titiwangsa hari ini.
Semalam, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menerima resolusi yang menggesa gencatan senjata segera selain bantuan kemanusiaan serta perkhidmatan penting sampai ke Semenanjung Gaza tanpa sebarang halangan.
Malaysia antara 120 negara yang menyokong keputusan resolusi gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ke wilayah padat yang dihujani bom pengganas Israel tanpa henti itu.
Pengundian semasa Sidang Khas Tergempar ke-10 itu menyaksikan resolusi yang diusulkan Jordan diluluskan oleh Perhimpunan Agung, dengan 120 undi menyokong, 14 menentang dan 45 tidak mengundi.
Resolusi draf yang diketuai oleh Jordan mengenai krisis itu mendapat sokongan awal daripada lebih 40 negara ahli, termasuk Mesir, Oman, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Antara negara yang menyokong ialah Perancis, Iran, Ireland, Jordan, Singapura, Namibia, Nepal, New Zealand, Nicaragua, Niger, Nigeria, Norway, Portugal, Rusia, manakala yang menentang Austria, Croatia, Czechia, Papua New Guinea, Paraguay, Fiji, Amerika Syarikat serta Tonga.
BACA JUGA MAPIM sokong solidariti Palestin di sekolah, anak mesti diajar hayati makna keadilan