Siasat ‘pentaksub’ PN buat komen lucah, fitnah terhadap PM
Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera menyiasat bagi membolehkan tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pemilik Facebook (FB) yang menggunakan nama ‘Shaiful Hj Sazali’ berikutan fitnah dan provokasi ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Ketua PKR Cabang Batu Rozan Azen Mat Rasip berkata isu tersebut perlu campur tangan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Komunikasi Dan Digital.
Katanya hantaran di laman sosial Facebook itu jelas memfitnah dan membuat provokasi jijik berbau lucah terhadap Perdana Menteri.
“Gesaan undang-undang ini termasuklah kepada pemilik akaun ‘Fatmi Kadir’ yang membuat status provokasi dan senda lucah melampau, hampir sama dengan pemilik akaun pertama seperti dinamakan di atas.
“Kedua-dua pemilik akaun tersebut membuat status masing-masing pada sekitar tiga dan empat hari lalu, dan ia masih dibiarkan tular dalam media sosial sehingga ke hari ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau mengulas mengenai hantaran berbaur lucah dan fitnah melalui hantaran yang dipercayai dari penyokong kuat Perikatan Nasional (PN).
Dalam hantara tersebut, pemilik Facebook berkenaan menukar akronim MADANI kepada perkataan fitnah dan berbaur lucah terhadap Perdana Menteri.
Bagaimanapun, dalam satu rakaman video yang dimuat naik oleh Shaiful di Facebook, beliau menyatakan permohonan maaf atas hantaran fitnah tersebut.
Menurut Rozan gesaan itu dilakukan bagi mewakili kemarahan pengguna media sosial dan rakyat negara ini yang menolak hantaran berbaur fitnah itu.
“Ini boleh dilihat dan dinilai menerusi reaksi dan komen daripada netizen sehingga menggusarkan suasana dan emosi.
“Status mereka berdua mengaitkan kata-kata lucah dengan agama Islam terhadap Perdana Menteri amat tidak boleh diterima sama sekali.
“Justeru itu, pihak kerajaan dan berwajib diharap dapat menjalankan siasatan, mengekang penularan (hantaran sedemikian) dan mengambil tindakan perundangan yang sepatutnya,” katanya.
Â