Sijil Audit Negara bukti keupayaan Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan

Perolehan Sijil Audit Negara oleh Kerajaan Negeri Sembilan adalah bukti kejayaan dan keupayaan negeri di bawah Pakatan Harapan itu, justeru wajar dipertahankan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Setiausaha politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad berkata hasil kejayaan tersebut mencerminkan keyakinan daripada pihak Ketua Audit Negara terhadap tadbir urus kewangan ‘Negeri Penuh Beradat’ itu.

“Kewangan kerajaan negeri diiktiraf oleh Jabatan Audit Negara sebagai pengurusan kewangan yang terbaik, kita perolehi sijil Audit Negara Bersih. Ini membuktikan ketelusan pentadbiran kewangan kita hasil daripada kesungguhan dan komitmen Pakatan Harapan yang diterajui oleh Menteri Besar (Datuk Seri) Aminuddin Harun,” katanya dalam satu siri Ceramah Perpaduan di Senawang, semalam.

Sijil Audit Negara ialah pengesahan penyata kewangan tahunan yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan, negeri atau agensi kerajaan bagi memenuhi keperluan undang-undang dan standard perakaunan. Ia menggambarkan kedudukan kewangan yang sebenar serta rekod-rekod perakaunan mengenainya perlu diselenggarakan dengan teliti.

Justeru, pihaknya berharap dengan rekod cemerlang yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri mampu memberi khidmat yang terbaik untuk semua lapisan masyarakat.

“Politik kita adalah politik khidmat, perpaduan dan kebajikan rakyat. Oleh itu, kerajaan negeri sentiasa memastikan ketelusan dalam pentadbiran diurus dengan baik dan teliti,” katanya lagi.

Jelasnya, sepanjang lima tahun pentadbiran, Pakatan Harapan negeri sentiasa terbuka untuk bertukar-tukar pandangan selagi ia melibatkan kepentingan rakyat.

“Kita tiada masalah dengan perbezaan politik, datangkan hujah kenapa kita perlu perbezaan pandangan apa yang memerlukan kita untuk saling tukar-tukar pandangan.

“Apa yang mungkin perlu dibaiki atau perlu ditambah baik, maka berikanlah kepada kami supaya ia dapat dibaiki,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, kerajaan negeri pimpinan Aminuddin telah diberikan mandat bermula 9 Mei 2018 dengan 95 peratus manifesto berjaya ditunaikan.

Antara kejayaan terbesar adalah peningkatan nilai pelaburan yang tertinggi dalam sejarah iaitu RM7.93 bilion dan pengukuhan nilai rizab negeri sebanyak RM899.25 juta.

Negeri Sembilan merupakan salah satu dari enam negeri yang bakal berdepan pilihan raya negeri. Negeri lain yang turut terlibat adalah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Aminuddin akan mempertahankan kerusi DUN Sikamat. Beliau juga Ahli Parlimen Port Dickson.

BACA JUGA: Aminuddin sumbang RM125,000 kepada masjid dan surau dalam Parlimen Port Dickson