Sikap biadab MB Terengganu mahu isytihar ‘perang’ dengan Persekutuan?

Pakatan Harapan Terengganu menyelar tindakan biadab Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Exco-exco negeri atas tindakan cuba memboikot kehadiran Perdana Menteri, DatukĀ  Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerjanya ke negeri itu semalam.

Ketua Penerangannya, Mohd Sufian Mat Ali menyelar barisan pimpinan Kerajaan Negeri itu sebagai biadab dan tidak menghormati tetamu.

Bahkan beliau berkata, ketiadaan sebarang kelibat baik dari Menteri Besar sendiri, mahupun barisan Exco seolah olah meremehkan kehadiran Perdana Menteri ke Terengganu.

“Sedangkan hubungan antara kerajaan negeri dan pusat seharusnya dilangsungkan dengan baik demi kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.

“Alasan tiada makluman rasmi dari pejabat Perdana Menteri adalah tidak berasas sama sekali. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja hadir menyambut Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan kepada Harapan Daily hari ini.

Mohd Sufian yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH negeri itu turut mengimbas semula bagaimana Almarhum Tok Guru Nik Aziz yang memerintah Kelantan satu ketika dahulu yang tidak pernah meremehkan kehadiran Perdana Menteri sebagai tetamu walaupun dianaktirikan oleh kerajaan pusat ketika itu.

Tindakan Kerajaan Negeri ini katanya, ibarat satu pengisytiharan ‘perang’ menentang pusat yang natijahnya tidak baik kepada rakyat Terengganu.

“Saya nasihatkan agar Menteri Besar dan Exco muhasabah dan perbaiki profesionalisme mereka bagi kepentingan negeri berbanding politik,” katanya sambil menegaskan tindakan pemimpin kerajaan negeri itu telah membelakangkan prinsip federalisme.

Terdahulu, kenyataan pemimpin Pas yang cuba menyalahkan Anwar dan mengatakan beliau datang ke Terengganu melalui pintu belakang, mengundang kecaman orang ramai.

Pas Terengganu dilabel angkuh dan dikritik seolah olah merendahkan taraf istana kerana memberi gambaran mereka lebih besar daripada istana kerana lawatan menghadap Tuanku Sultan Terengganu tidak diiringi MB.

Dalam lawatan kerja Anwar semalam, Ahli Parlimen Tambun itu turut mengadakan pertemuan bersama pegawai-pegawai kerajaan di Universiti Malaysia Terengganu.

Baca juga: Netizen serang ADUN Pas lepas dakwa PM Anwar tidak beradab

Baca juga: PM Anwar datang tapi pemimpin Pas Terengganu tak kenang budi