Simpanan KWSP sebagai cagaran pinjaman tidak bercanggah dengan Akta KWSP 1991

Cadangan membolehkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan sebagai cagaran untuk permohonan pinjaman tidak bercanggah dengan Akta KWSP 1991, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau tiada percanggahan timbul membabitkan Seksyen 51 Akta KWSP 1991 dan perkara ini sudah dirujuk kepada Peguam Negara. Seksyen 51 menyatakan bahawa caruman dan deposit tidak boleh diserah hak atau ditahan.

Anwar turut menjamin bahawa kepentingan pencarum akan dipelihara menerusi pemberian dividen dan risiko yang dihadapi adalah sangat minimum.

“Dari sudut jaminan kepentingan peminjam, dividen akan diteruskan walaupun beri cagaran contohnya RM50,000 sebagai pinjaman.

“Dividen diberi sepenuhnya mengikut kumpulan asal dan tidak dipotong, maka KWSP berasakan dalam beberapa tahun pulangan dapat diperoleh.

“Kalau sejumlah kecil yang gagal membayar tidak memberi kesan parah kerana jumlah induk dan dividen sudah ditambah, jadi kalau berlaku potongan mungkin dari sudut dividen.

“Risiko itu sangat minimum,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) berhubung pandangan pinjaman bercagar KWSP melanggar Seksyen 51 Akta KWSP.

Tambah Anwar, kebenaran kepada pencarum menggunakan wang simpanan KWSP sebagai cagaran bank adalah bagi mereka yang mempunyai wang caruman yang besar, namun berhadapan kesulitan.

“Kita tidak benarkan orang ramai keluarkan caruman KWSP lagi kerana ini bukan waktu Covid-19 lagi, mereka boleh kerja, tetapi ada beberapa kes mendesak dimaklumkan kepada kita.

“Umpamanya dia ada wang, tetapi tak dapat bayar yuran pendidikan anak di luar negara dan kita tak benar keluarkan KWSP, jadi boleh guna kaedah itu tetapi dengan syarat yang ketat,” katanya.

BACA JUGA: Anwar tolak langkah popular, ‘tebuk’ KWSP, utamakan dana persaraan