Skim Insurans Am Selangor patuh syariah mulai April

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Kim mengumumkan pelaksanaan program Skim Insurans Am Selangor (INSAN) berteraskan kaedah patuh syariah dijangka dimulakan bulan depan.

Beliau berkata, pelaksanaan tersebut perlu melalui proses perolehan selain tertakluk kepada terma dan syarat perjanjian dengan pembekal perkhidmatan takaful yang dipilih.

“Kerajaan negeri akan kekal menyediakan pilihan antara kaedah konvensional atau takaful bagi memastikan perlindungan insurans ini dimanfaatkan semua lapisan masyarakat,” katanya menjawab soalan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (PH-Taman Medan) mengenai pelaksanaan INSAN dengan mekanisme patuh syariah atau takaful.

Beliau bercakap mewakili Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri juga sentiasa mengambil berat cadangan penambahbaikan program berkenaan.

Chang Kim yang juga ADUN Bandar Baru Klang menambah jemputan bagi perkhidmatan takaful akan diberikan kepada empat syarikat setakat ini untuk menyertai permohonan sebut harga.

Syarikat tersebut ialah Etiqa General Takaful Berhad, Zurich General Takaful Malaysia Berhad, Takaful Ikhlas General Berhad dan Takaful Malaysia Berhad.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri telah membeli kuota insurans sebanyak enam juta untuk rakyat Selangor yang layak memohon dan setakat ini menerima 3.58 juta permohonan bagi skim perlindungan kemalangan diri berkenaan.

“Pemohon yang berumur 30 hari selepas kelahiran sehingga 80 tahun layak memohon. Selain itu, individu tersebut perlu dilahirkan di Selangor, jika tidak, dia mesti beralamat di Selangor berdasarkan alamat di kad pengenalan,” katanya.

Skim insurans percuma dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

 

BACA JUGA Pengangguran di Selangor terus menurun