SKMM ingatkan lagi jangan muat naik komen berbaur kebencian kaum, agama

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan atau pandangan yang berbaur kebencian.

Pengerusinya Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata perkara tersebut membabitkan elemen 3R iaitu perkauman, agama dan institusi diraja di media sosial dan aplikasi pemesejan.

Beliau berkata peringatan tersebut dibuat susulan beberapa insiden melibatkan elemen 3R yang berlaku semenjak kebelakangan ini yang dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian di dalam negara.

“Ucapan berbaur kebencian, merujuk kepada kata-kata ucapan ataupun gambar yang menuduh, merendah-rendahkan nilai seseorang individu atas faktor perkauman, etnik, agama, mahupun kewarganegaraan mereka,” katanya dalan kenyataan hari ini.

Mohamad Salim berkata SKMM akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R.

Jelasnya sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam,merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan penguatkuasaan bersama polis akan diambil terhadap mereka yang terlibat, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat,” katanya.

Mohamad Salim turut menggesa pentadbir portal berita dalam talian, media sosial dan aplikasi pemesejan untuk menguruskan komen-komen daripada netizen di platform mereka.

“Pihak penyedia platform media sosial pula, diminta untuk lebih bertanggungjawab dalam menurunkan kandungan-kandungan berbaur provokatif dan berbahaya apabila dikesan,” katanya.

BACA LAGI: Kerjasama KKD – platform media sosial elak berita palsu menjelang PRN