
SKMM terima 116 aduan capaian internet di kawasan Ahli Parlimen
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerima sebanyak 116 aduan berkaitan capaian internet melibatkan 16 Ahli Parlimen.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, seramai 111 Ahli Parlimen telah melawat dan memeriksa kelajuan internet di kawasan masing-masing sepanjang tiga hari SKMM membuka pusat aduan itu di Bangunan Parlimen.
“Daripada 111, 16 ahli parlimen telah melaporkan isu internet di kawasan mereka.
“Saya merakamkan penghargaan buat kesemua Ahli Parlimen yang memberi kerjasama penuh dengan KKD dalam memastikan perkhidmatan internet yang lebih berkualiti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.
Menurut Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, kesemua aduan yang direkodkan akan dihubungi oleh pembekal perkhidmatan dan dipantau pihak SKMM negeri.
“Insya-Allah kerjasama dengan kesemua Ahli Parlimen akan diteruskan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan internet di Malaysia,” tambah beliau lagi.