
Smart SBB sedang diperhebatkan
Program pertanian sawah, Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) ala Sekinchan sedang diperhebatkan untuk menampung keperluan beras tempatan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Sekarang ini pengeluaran padi di Sabah dan Sarawak pun masih di paras rendah untuk mencukupkan keperluan bagi penduduk setempat.
“Tetapi kerajaan yakin dalam jangka masa panjang kedua-dua negeri tersebut boleh menjadi negeri jelapang padi, bukan sahaja pengeluarannya cukup untuk penduduk dalam negeri tetapi dapat juga mereka bekalkan beras ke negeri-negeri lain nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program Santai Agro Madani Penuaian Program Smart SBB Ala Sekinchan di Dewan Terbuka Kampung Gerai, Jertih, Terengganu.
kementeriannya juga menerima kerjasama baik daripada kerajaan negeri lain seperti Pahang dan Johor bagi menjalankan program itu yang menerapkan amalan penanaman padi secara bersepadu menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil.
Mohamad berkata Smart SBB Ala Sekinchan yang diperkenalkan akhir tahun 2021 sedang dilaksanakan di seluruh negara melibatkan hampir 10,000 pesawah dengan kawasan keluasan lebih 26,000 hektar.
Dalam pada itu Mohamad berkata kerajaan akan meneliti semula jadual penanaman padi terutama di negeri Pantai Timur bagi membolehkan ia dituai sebelum musim tengkujuh.
Hal itu katanya bagi mengurangkan kerugian ditanggung petani yang mempunyai sawah di kawasan berisiko banjir.