
Sokongan luar biasa ini semestinya demi kestabilan negara dan Johor dicintai
Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat menyifatkan proses penamaan calon pagi ini meriah dengan gabungan PH-Barisan Nasional (BN).
“Sokongan luar biasa ini sudah semestinya demi kestabilan negara dan negeri Johor yang kita cintai ini,” tulis beliau di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Naib Pengerusi AMANAH Johor itu tiba di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, pada jam 8.45 pagi diiring beberapa pemimpin Kerajaan Perpaduan.
Beliau dilihat memakai kemeja berwarna merah, sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sementara itu, di Facebook Suhaizan turut dimuat naik satu video pendek yang memaparkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad hadir memberikan sokongan kepada beliau.
“Kami amat menyokong calon kita (Suhaizan Kaiat),” ucap Hasni dalam video tersebut.
PRK parlimen itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.