Sokongan Papagomo, Pas hanya untuk ampu Tun M

Pengarah komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa pihak yang menyokong perjuangan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan alasan perjuangan untuk orang Melayu hanya mahu mengampu Mahathir sahaja.

Menurutnya, sokongan yang diberikan oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo dan Pas kepada Mahathir yang digelar ‘Bapa Perpecahan Melayu’ tidak masuk akal kerana Mahathir ketika pentadbirannya kritikal terhadap orang Melayu.

“Bukan sahaja slogan hendak membela Melayu ini tak masuk akal untuk dikaitkan dengan manusia yang selalu menghina Melayu dengan label ‘pemalas’, ‘mentaliti subsidi’ dan sebagainya ini.

“Takkanlah Gomo (Papagomo) dan Pas tidak boleh fikir langsung betapa gagalnya Mahathir membela nasib orang Melayu ketika beliau jadi Perdana Menteri 22 tahun?” soalnya menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Lokman turut mendakwa bahawa sepanjang pemerintahan Mahathir, nasib orang Melayu tidak pernah terbela dan sebaliknya hanya memperkayakan kroni sahaja.

Sebagai bukti, Lokman berkata ketika Mahathir menjadi perdana menteri dalam tahun 1981 ekuiti saham bumiputera hanya 18 peratus dan angka tersebut kekal ketika Mahathir berundur pada tahun 2003.

“Satu peratus pun tak bertambah ekuiti Bumiputera zaman Mahathir, yang kaya hanya kroni terapatnya,” dakwanya.

Dalam pada itu, Lokman turut mempersoalkan samada sokongan yang diberikan oleh Papagomo dan Pas tersebut dibuat dibalas dengan sesuatu yang lumayan.

“Papagomo dan Pas harus akui bahawa mereka menyokong Mahathir bukan kerana perjuangannya untuk bangsa Melayu, tetapi kerana janji lumayan yang beliau taburkan.

“Apa agaknya yang Mahathir janjikan ya? soalnya lagi.

Terdahulu, Papagomo secara rasmi mengumumkan bahawa akan menyambung perjuangannya bersama Dr Mahathir adalah demi agama, bangsa, tanah air dan bukannya atas mana-mana parti politik.

Manakala pada 3 Mei lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu telah menyatakan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu yang diterajui Mahathir.

Mahathir sendiri sedang disiasat ekoran dari proklamasi tersebut.