
Sokongan penuh untuk tubuhkan Ombudsman
Saya sokong penuh usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menubuhkan badan Ombudsman di Malaysia.
Saya telah menggesa penubuhan institusi Ombudsman di Malaysia sejak setengah abad yang lepas, dan walaupun dalam dekad-dekad selepas gesaan ini, sistem-sistem Ombudsman di negara lain telah dikaji oleh kerajaan Malaysia, sistem ini tidak pernah ditubuhkan.
Dalam perjumpaan saya dengan Azalina pada bulan Februari tahun ini, saya telah mencadangkan institusi Ombudsman ini sebagai salah satu inovasi yang patut dikaji untuk dilaksanakan oleh Menteri.
Saya puji Azalina atas komitmennya untuk menubuhkan sistem Ombudsman di Malaysia, dengan kenyataannya pada bulan Mei yang mengatakan rang undang-undang Ombudsman Malaysia akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober.
Dasar Ombudsman Malaysia ini patut diasaskan kepada dasar-dasar yang serupa seperti di negara-negara lain seperti United Kingdom dan New Zealand dan patut memberikan fungsi dan kuasa yang jelas kepada institusi ini, yang patut juga merangkumi aduan awam terhadap jabatan atau agensi kerajaan.
Ombudsman Malaysia perlulah menjadi satu badan bebas untuk menerima pelbagai bentuk aduan awam terhadap jabatan dan agensi kerajaan, selari dengan agenda kerajaan untuk menekankan prinsip ketelusan dan integriti.
Sesi libat urus bersama Ahli-ahli Parlimen semalam mengenai penubuhan Ombudsman Malaysia ini adalah satu perkara yang bagus memandangkan tujuan penubuhan Ombudsman Malaysia adalah untuk menggantikan dan menambah baik fungsi yang dijalankan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) dalam berkhidmat kepada rakyat untuk menyelesaikan aduan-aduan dan mempromosikan tadbir urus yang baik dalam sektor awam.