Solidariti Palestin: Terap nilai murni elak pelajar diberi gambaran tidak tepat

Solidariti Palestin: Terap nilai murni elak pelajar diberi gambaran tidak tepat

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, berkata penerapan nilai-nilai murni penting bagi menyampaikan mesej kepada pelajar supaya mereka lebih memahami tentang isu sebenar yang berlaku di Palestin.

Menurutnya, penekanan itu penting kerana tidak mahu pelajar diberikan gambaran tidak tepat hingga menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak.

“Pelajar perlu faham isu (Palestin) ini adalah isu global. Mereka perlu diberi peluang untuk menelaah, meneliti, menulis dan mendedahkan diri dengan bahan media yang menggambarkan situasi sebenar supaya lebih menghayati maksud solidariti dan setia-kawan.

“Gambaran tepat juga perlu diberikan betapa dunia perlukan keamanan.

“Ini menjadi tanggungjawab para pendidik untuk mendidik anak-anak mengenai keamanan sejagat, selain aktiviti yang mampu memupuk semangat dan nilai yang baik,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen AMK Zon Utara di Batu Maung hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap Kementerian Pendidikan (KPM) supaya mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam yang dijadual bermula esok.

Adam berpendapat inisiatif kerajaan menganjurkan program sedemikian satu usaha yang baik, namun bagaimana ia diterjemahkan perlu diteliti khususnya pada peringkat pelajar yang masih kabur mengenai isu terbabit.

“Anak-anak di sekolah hari ini berhadapan dengan waktu yang mana orang sekeliling mereka bercakap soal Palestin tapi apa pendidikan yang kita bagi kepada anak-anak?

“Kita bimbang jika mereka ini tidak diberi bimbingan yang betul akan ada pihak yang akan ambil kesempatan untuk memesongkan minda mereka,” kata Adam lagi.

 

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )