
SPNB saman dua syarikat, empat individu didakwa lakukan penipuan
SPNB Aspirasi Sendirian Berhad (SASB) iaitu anak syarikat milik penuh Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) mengenakan tindakan undang-undang ke atas dua syarikat dan empat individu yang didakwa melakukan penipuan.
Dua syarikat yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua ialah Wiradani Development Sdn Bhd dan Akitek Akiprima Sdn Bhd, masing-masing beralamat perniagaan di Kuala Lumpur dan Subang Jaya, Selangor.
Empat individu pula dinamakan sebagai defendan ketiga hingga keenam masing-masing berusia 50 hingga 59 tahun.
Menurut dokumen pernyataan tuntutan yang tersebar, kesemua defendan terbabit dalam konspirasi untuk melaksanakan penipuan terhadap SASB.
Mereka terlibat dalam cadangan pembangunan sebanyak 256 unit apartmen servis dan 20 unit kedai di tanah seluas kira-kira 1.26 ekar di Mukim Ampang, Hulu Langat di Selangor.
“Melalui surat niat bertarikh 28 Ogos 2014, SASB menerima cadangan Wiradani untuk membangunkan projek perumahan itu di atas tanah tersebut.
“Melalui sebuah Perjanjian Pembangunan bertarikh 16 Oktober 2014, SASB dan Wiradani telah memasuki Perjanjian Pembangunan itu bagi tujuan pembangunan projek perumahan tersebut,” dipetik daripada perincian dokumen mahkamah itu.
Berdasarkan dokumen tuntutan tersebut, kesemua defendan telah melakukan satu siri konspirasi terhadap SASB untuk menyebabkan kerugian dan kerosakan.
Jelasnya, konspirasi pertama menyaksikan Wiradani mengekalkan nilai kos tanah sebanyak RM28 juta dan membuat tuntutan kehilangan keuntungan yang berlebihan terhadap SASB.
Konspirasi kedua adalah membabitkan bekas pengarah-pengarah SASB telah secara tidak jujur dan secara penipuan menyelindungi salah laku defendan-defendan lain.
Sementara itu, konspirasi ketiga adalah melibatkan defendan kelima melalui Wiradani telah secara tidak jujur dan secara penipuan melantik Akiprima sebagai arkitek di mana arkitek yang merupakan defendan keempat dalam Akiprima juga merupakan salah satu pengarah Wiradani untuk menipu dan mencederakan SASB.
Sementara itu, dalam konspirasi keempat pula, pernyataan tuntutan itu menyebut Akiprima, Wiradani, defendan ketiga, defendan keempat dan defendan kelima “secara tidak jujur dan secara menipu mengeluarkan surat tuntutan, perakuan bayaran interim nombor satu, notis kemungkiran, notis penamatan dan notis tuntutan”.