SPR tetapkan tiada pilihan raya kecil DUN Batang Kali

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bahawa tiada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali akan dijalankan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong.

SPR dalam kenyataan berkata berdasarkan kepada Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Bab 5 Perkara LXX(5), Speaker telah memaklumkan kepada suruhanjaya itu bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.

“SPR telah menerima pemakluman daripada Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim melalui surat pada 21 Februari berhubung dengan status kekosongan luar jangka kerusi Batang Kali setelah diisytiharkan kosong,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada 16 Februari lalu Speaker mengisytiharkan kerusi Batang Kali sebagai kosong akibat kegagalan wakil rakyatnya Hairumani Omar hadir ke sidang DUN Selangor dalam tempoh enam bulan.

Suee Lim berkata memberitahu tarikh akhir kehadiran wakil rakyat terbabit ke sidang DUN adalah pada 27 Julai 2022 berdasarkan rekod penyata rasmi dan buku kehadiran.

Tempoh enam bulan dikira bermula dari 28 Julai tahun lalu, maka mengikut Perkara LXX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran beliau melebihi enam bulan.

Perlucutan kerusi itu adalah kekal dan keputusan tersebut tidak boleh dirayu.

Harumaini menang di Batang kali pada Pilihan Raya Umum ke-14 sekali gus menumpaskan dua calon lain termasuk penyandang kerusi Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN) dan calon PAS Mohd Hasnizan Harun.

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,315 apabila memperoleh 21,536 undi berbanding 13,221 yang dipungut Mat Nadzari.

Apabila Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020, Harumaini tidak ikut serta sebaliknya menyertai Pejuang.

BACA JUGA: Isytihar kerusi Batang Kali kosong ikut enakmen, undang-undang tubuh negeri – MB