SPRM ada cukup bukti dakwa ahli PAS beri wang tunai kepada pengundi Marang

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai bukti mencukupi bagi mendakwa seorang ahli PAS yang menyerahkan wang tunai kepada pengundi Marang dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perbuatan pemberian wang itu dipapar dalam satu rakaman video yang tular di media sosial.

Menurut sumber, penyiasat suruhanjaya itu telah membuat temu bual dengan saksi kejadian dan bakal mencadangkan tuduhan rasuah kepada pendakwa raya tidak lama lagi, lapor Malaysiakini.

Memetik seorang pegawai kanan SPRM, suruhanjaya itu sedang menyiapkan satu bahagian terakhir sebelum melengkapkan siasatan termasuk melibatkan permintaan untuk mendapatkan dokumen rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“SPRM perlu mendapatkan dokumen pendaftaran pemilih daripada SPR, yang perlu kita mohon melalui mahkamah.

“Apabila kita mendapat dokumen dan merekodkan beberapa lagi kenyataan, maka kertas siasatan akan dihantar semula kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan mereka.

“SPRM akan mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengenakan tuduhan rasuah terhadap individu yang memberikan wang tunai itu (kepada pengundi),” kata sumber berkenaan.

Tangkapan layar rakaman video menunjukkan seorang lelaki berkopiah mengajar seorang individu mengucap lafaz sumpah “Wallahi, saya undi Pas” sebelum menyerahkan sejumlah wang tunai. Foto TikTok@najib bakar

Menurut sumber, penyiasat telah menyoal beberapa saksi termasuk kira-kira 90 pengundi yang didakwa telah menerima bayaran daripada PAS untuk mengundi calon parti tersebut.

“Terdapat unsur-unsur rasuah seperti yang dapat dilihat dengan jelas daripada video yang tular,” kata sumber lagi.

Terdahulu timbul dakwaan berhubung amalan sogokan berlaku dalam kempen PRU-15 termasuk rakaman video menunjukkan orang ramai bersumpah untuk mengundi PAS sebelum diberikan sejumlah wang oleh seorang lelaki.

Sebelum ini, BN Terengganu memfailkan petisyen membatalkan kemenangan di Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman pada 3 Januari lalu.

Pengerusi BN Terengganu, Datuk Ahmad Said mendakwa pihaknya mempunyai bukti unsur politik wang oleh PAS bagi memancing undi untuk tiga kawasan Parlimen berkenaan pada PRU15.

Pada 12 Februari lalu permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk membatalkan petisyen dibuat Barisan Nasional (BN) terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kawasan Parlimen Marang ditolak Mahkamah Pilihan Raya.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani juga memerintahkan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar membayar kos RM20,000 terhadap pempetisyen iaitu BN Terengganu berikutan penolakan tersebut.

Dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian, beliau turut menetapkan perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan pada 6 Mac sehingga 21 Mac depan.

Sementara itu peguam, Amin Othman yang mewakili BN Terengganu berkata, mahkamah menolak semua alasan dikemukakan PN dalam bantahan awal terbabit.

“Ini termasuk tarikh memfailkan petisyen ini yang didakwa telah melebihi had masa ditetapkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Sebaliknya mahkamah bersetuju petisyen telah difailkan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan PRU15 diwartakan,” katanya.

BACA JUGA: MP Marang biadab, tidak hormati titah Agong