SPRM buka kertas siasatan aduan PN terima dana judi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan bagi meneliti dokumen yang diterima membabitkan aduan berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana wang judi ketika pilihan raya umum sebelum ini.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan, lapor portal Buletin TV3.

“Siasatan itu termasuk mengenal pasti dan menyiasat latar belakang syarikat-syarikat yang dinyatakan dalam aduan,” katanya.

Media melaporkan pada 30 Mei lalu, seorang individu membuat laporan kepada SPRM dengan mengemukakan dokumen tertentu melibatkan dakwaan PN menerima dana daripada syarikat perjudian.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu kemungkinan PN menggunakan wang judi pada pilihan raya umum lalu jika tidak mempunyai sebarang asas berhubung perkara itu.

Menurutnya, siasatan terhadap dakwaan itu masih lagi berjalan melibatkan pelbagai agensi.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan mengenai jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat bahawa beliau tidak menyatakan dakwaan terhadap dana judi melibatkan PN dihenti atau digugurkan.

BACA JUGA: Individu tampil dengan bukti PN terima dana syarikat judi

Dana judi: “Saya tidak keluar kenyataan tanpa asas” – Anwar