SPRM diminta sentiasa beri perkembangan siasatan isu RM600 bilion

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta supaya memberikan penjelasan berterusan tentang siasatan terhadap perbelanjaan RM92.5 bilion yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali berkata, tindakan ini perlu untuk memperlihatkan SPRM telus dalam siasatan mereka kerana ia melibatkan kepentingan awam.

“Saya yakin Tan Sri Mahiaddin Yassin suka kepada ketelusan sebagaimana yang dipraktikkan semasa beliau menjadi perdana menteri.

“Dalam masa yang sama, rakyat ingin tahu apa perkembangan kes ini kerana ia menarik perhatian ramai.

“Oleh itu, SPRM perlu membuat penjelasan berterusan perkembangan siasatan kes ini,” kata Pensyarah Kanan UTM Kuala Lumpur itu dalam satu wawancara khas beliau dengan Harapandaily.

Semasa kempen pilihan raya ke 15 lalu, Perikatan Nasional (PN) menjadikan perbelanjaan RM600 bilion untuk membantu rakyat ketika Covid-19 sebagai bahan kempen mereka bagi menunjukkan betapa PN sangat prihatin dengan keperluan rakyat.

Namun, apabila isu ini disiasat oleh SPRM, jumlah perbelanjaan sebenar adalah RM530 bilion sahaja bukannya RM600 bilion sebagaimana yang didakwa PN.

Perbelanjaan kerajaan pula hanya RM92.5 bilion sahaja.

“Siasatan awal mendapati jumlah peruntukan terbabit dianggar berjumlah RM530 bilion. Berdasarkan jumlah itu, RM92.5 bilion adalah dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

“Justeru, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion,” kata SPRM.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan berlaku pelanggaran serius berhubung prosedur perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

BACA JUGA Kerajaan Perpaduan dituduh luar tabii, Menteri masuk Pusat Tarbiah boleh pula