SPRM: Sedekah kepada pengundi tetap rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat apa sahaja bentuk rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang, bukannya pemahaman peribadi, kata ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.

Beliau menegaskan bahawa rasuah adalah rasuah, tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk menggambarkannya kerana undang-undang jelas mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan pembelian undi.

“Sama ada ia ‘sedekah’ atau ‘sumbangan’, undang-undang menganggapnya sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi, tidak kira sama ada pengundi memintanya atau tidak,” katanya memetik laporan The Star.

Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menjenayahkan penyogokan wang sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya.

Komen Azam itu susulan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, baru-baru ini, terhadap petisyen difailkan Umno Terengganu bagi membatalkan keputusan PRU15 di tiga kawasan Parlimen di negeri Pantai Timur itu.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan berkata bahawa mereka yang dirakam dalam video menyerahkan wang tunai kepada pengundi hanyalah melakukan kerja amal.

Pemimpin PAS itu berkata undang-undang pilihan raya menetapkan hanya calon dan ejen mereka dilarang memberi wang tunai.

Komen beliau mengundang kritikan pelbagai pihak kerana Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas melarang perbuatan terbabit.

BACA JUGA:

Isu beri pengundi duit, Pas anggap ‘budaya derma’ dah jadi darah daging