Subsidi dikurangkan untuk T20 bukan B40

Kerajaan sama sekali tidak pernah mengurangkan subsidi untuk rakyat B40 di negara ini, sebaliknya subsidi hanya dikurangkan untuk golongan berpendapatan tinggi T20, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau dengan itu mempersoal, apa maksud Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) apabila mendakwa berlaku pengurangan subsidi sehingga mencengkam kehidupan rakyat terbanyak.

“Bila Yang Berhormat sebut tentang pengurangan subsidi, saya kurang faham di mana kurangnya. Yang kurang itu untuk orang kaya .

“Kita kurangkan subsidi elektrik bukan untuk rakyat (B40). (Tapi) untuk orang yang maha kaya, rumah-rumah besar yang kaya sahaja iaitu atas T20. Jadi kenapa kita nak jadikan isu ini isu politik.

“(Subsidi) tidak dikurangkan bagi majoriti rakyat. 90 peratus rakyat itu tidak terkesan kerana tidak dinaikkan kadar elektrik. Malah kadar elektrik untuk SME dan industri makanan tidak dinaikkan,” katanya menjawab soalan Radzi di Dewan Rakyat bahawa kejatuhan ringgit dan pengurangan subsidi membebankan kehidupan rakyat.

Anwar berkata, sama juga seperti kos haji di mana kerajaan tidak pernah menarik subsidi untuk jemaah B40, melainkan jemaah itu golongan kaya yang sememangnya mampu membiayai kos penuh.

Beliau juga menyoal apakah kerajaan tidak boleh mengurangkan subsidi untuk orang kaya.

“Jadi kita nak jadi jaguh siapa ini. Untuk subsidi haji, kita tak naikkan bagi rakyat. Yang dinaikkan itu untuk T20. Kamu dah kaya benor tak kan Tabung Haji nak beri subsidi untuk pergi ke Mekah. Ini memang ada juga rungutan tetapi saya tegas dalam hal itu.

“Setakat ini sahaja yang kita kurangkan, tak ada pengurangan yang lain seperti dihebahkan dalam kempen politik. Kurang subsidi, subsidi mana? Kurang subsidi untuk oramg kaya pun tak boleh? Nak ambil RM50, RM60 juta dari Tan Sri Syed Mokhtar pun tak boleh?

“Ini apa punya dasar begini. Saya terpaksa ambil daripada orang kaya supaya tak bebankan orang miskin. Itu pun kadar yang agak minimal,” katanya lagi.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Radzi sama ada kerajaan bercadang untuk menaikkan OPR dalam masa terdekat atau tidak, Anwar menjawab bahawa ia akan diserahkan kepada Bank Negara Malaysia sendiri.

“Soalan tentang OPR, OPR ini diputuskan sepenuhnya oleh BNM kerana itu undang-undang yang dibuat oleh YB-YB dulu. Cuma setakat ini dalam Kerajaan Perpaduan, baru sekali naik. Berbanding tahun lalu di bawah pemerintahan YB (Pagoh), empat kali naik.

“Seperti mana saya jawab awal tadi, kita kena terima kenyataan (kenaikan OPR) seperti mana berlaku di Singapura, itu akan membantu memperkukuh nilai mata wang,” ujarnya.

BACA JUGA: Dewan Rakyat kecoh, PN guna peraturan mesyuarat pertahan Sanusi