Subsidi telur, ayam: Kabinet buat keputusan dalam tempoh terdekat

Subsidi telur, ayam: Kabinet buat keputusan dalam tempoh terdekat

Kerajaan akan membuat keputusan berkaitan subsidi ayam dan telur dalam sehari dua lagi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jualan yang kini mula dipasarkan di bawah harga siling serta bekalan di pasaran yang semakin stabil.

“Saya masuk mesyuarat Kabinet (hari ini) hanya 10 minit. Saya bentang mengenai ayam serta telur dan kerajaan akan buat keputusan dalam sehari dua ini.

“Sekarang ayam dan telur keadaannya (bekalan) sudah stabil. Harga sudah di bawah siling. Jadi, Kabinet akan buat keputusan. Kita tunggulah keputusan Kabinet itu.

“(Keputusan itu berkaitan subsidi) … ya … sekarang sudah stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatannya dari Jepun, Miyashita Ichiro sempena Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-45 di ibu negara, hari ini.

Terdahulu, mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu membuat keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Januari hingga 30 Jun ini.

Bermula 1 Julai lalu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi serta kawalan harga ayam dan telur.

Sebanyak RM200 juta sebulan diperuntukkan bagi meneruskan pemberian subsidi ke atas ayam dan telur.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dan kebajikan rakyat terus terbela.

BACA JUGA Kerajaan tanggung RM200 juta teruskan subsidi ayam, telur

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )