Subsidi yuran taska RM180 sebulan untuk penjawat awam

Menerusi pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani, kerajaan hari ini mengumumkan akan memberikan subsidi yuran taska sebanyak RM180 sebulan kepada penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak menerima subsidi itu turut dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM7,000 untuk penjawat awam.

Beliau berkata, untuk memperluaskan akses pendidikan awal kanak-kanak, kerajaan akan meneruskan pembinaan 80 taska dan tabika KEMAS, termasuk 13 projek baharu.

“Saya menyeru majikan agar memainkan peranan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat dan kerajaan akan terus memudah cara garis panduan untuk pusat jagaan kanak-kanak di pejabat, termasuk membenarkan penyediaan pusat jagaan di aras pejabat yang lebih tinggi.

“Insentif cukai sedia ada juga akan dilanjutkan bagi elaun jagaan kanak-kanak serta kos menyediakan pusat jagaan di pejabat.

“Jika sambutan majikan kurang menggalakkan, kerajaan akan meneliti keperluan untuk mewajibkan penyediaan kemudahan tersebut demi menyokong ibu yang bekerja,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga akan memudah cara proses pendaftaran dan memulakan semula program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara dengan peruntukan RM15 juta bagi membantu pengusaha.

Belanjawan ini adalah belanjawan sulung dibentangkan Anwar sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan pada November tahun lalu.

Pada 20 Disember lalu, Anwar sudah membentangkan ‘Bajet Mini’ bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan, membabitkan wang bernilai RM107.7 bilion.

BACA JUGA: Kakitangan awam dapat bantuan khas RM700 sempena Aidilfitri