
Suhaizan banyak berjasa kepada Johor – MB
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, disifatkan sebagai individu yang banyak berjasa di Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Suhaizan telah berkhidmat sebagai Speaker DUN Johor sewaktu tiga Menteri Besar sebelum ini bermula pada 2018 sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac tahun lalu.
“Pagi ini, saya bersama Suhaizan yang merupakan calon daripada Kerajaan Perpaduan, Suhaizan yang banyak berjasa kepada Kerajaan Johor sebagai Speaker DUN.
“Bekas pensyarah ini juga mempunyai prestasi yang sangat baik dalam membantu rakyat terutama di kawasan Pulai. Saya yakin, Suhaizan akan dapat meneruskan legasi perjuangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub,” katanya memetik Sinar Harian selepas mengadakan pertemuan bersama jentera Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Balairaya Kampung Sungai Danga, hari ini.
Ditanya mengenai sokongan ahli BN kepada Suhaizan, Onn Hafiz menjelaskan perkara tersebut dalam momentum yang baik.
“Alhamdulillah setakat ini sokongan ahli-ahli BN dalam keadaan yang baik dan mereka memahami perlunya kestabilan untuk negara dan juga negeri Johor,” ujarnya yang merupakan Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam
Sementara itu, Suhaizan menzahirkan penghargaan kepada Onn Hafiz yang turun padang membantu jentera khususnya dalam memberikan penjelasan mengenai sokongan kepada calon daripada Kerajaan Perpaduan.
“Penjelasan diberikan itu pada saya diterima dengan baik akar umbi BN sekali gus menepis pandangan bahawa tidak perlunya usaha membantu calon daripada parti lain selain daripada BN,” katanya.